1,925 kes baharu, Selangor penyumbang tertinggi

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 pada Selasa merekodkan 1,925 kes dengan Selangor penyumbang tertinggi angka tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 108,615 kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 21,443 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Selangor melaporkan 747 kes harian.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 625 kes atau 83.7 peratus adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan 360 kes dan 288 kes di Pahang.

"Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan 282 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Sabah merekodkan 230 kes, Johor (110) dan Negeri Sembilan (60) serta Pulau Pinang (57).

Artikel Berkaitan:

"Kelantan melaporkan 31 kes, Perak (17), Melaka (sembilan), Kedah (lapan) dan Sarawak (empat).

"Masing-masing dua kes dikesan di Terengganu dan Putrajaya," katanya.

Menurutnya, sebanyak 307 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

"Kluster Tembok Mempaga mengesan 282 kes, Kluster Penjara Jalan Harapan (sembilan), Kluster Tembok Gajah (sembilan), Kluster Tembok (tiga), Kluster Pagar Siput (tiga), dan Kluster GK Tawau (satu)," katanya.

Beliau berkata, terdapat 117 kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya 457 kes," katanya.

Berdasarkan ringkasan kes kematian, kedua-dua korban merupakan warga emas dan mempunyai latar belakang penyakit kronik lain seperti buah pinggang, jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Kes kematian ke-546 direkodkan di Hospital Sungai Buloh melibatkan lelaki berumur 65 tahun manakala kes ke- 547 merupakan wanita berusia 68 tahun yang dilaporkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, bilangan kes pulih mencatatkan 1,123 kes.

"Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 86,715 iaitu bersamaan 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.