'Jangan bazirkan masa polis'

Mior Faridalathrash Wahid
Mior Faridalathrash Wahid
A
A
A

IPOH - Polis Perak memberi amaran tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja membazirkan masa dan tenaga pegawai penyiasat malah membazirkan wang kerajaan kerana menyiasat kes yang tidak wujud.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, polis Perak telah merekodkan 39 kes memberi maklumat palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes telah dituduh, empat kes dikelaskan sebagai NFA (no further action) manakala 11 lagi masih dalam siasatan.

“Laporan palsu yang dilaporkan ini secara tidak langsung mengakibatkan berlakunya peningkatan statistik jenayah indeks di kontinjen Perak seperti dilaporkan dalam Mesyuarat Pencegahan Jenayah pada 22 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan mendapati mereka yang terlibat membuat laporan palsu atas dasar kepentingan diri sendiri.

Katanya, ada antaranya bagi mengelak daripada dikenakan denda atau bayaran terhadap kecuaian diri sendiri semata-mata untuk mendapatkan ganti rugi insurans dan sebagainya.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap pesalah tersebut. Mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel Berkaitan: