Isu kartel daging: Jakim adakan perbincangan antara kementerian, agensi

Jakim
Jakim
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian dan agensi bagi menyelaras peranan masing-masing dalam menangani isu penyeludupan daging.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, antara fokus perbincangan adalah langkah-langkah yang perlu diambil dalam menangani isu tersebut dan Pelan Tindakan Bersepadu pengimportan daging serta produk daging.

"Perbincangan itu membabitkan Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dijadual berlangsung pada 5 Januari depan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu kartel daging: Kerajaan setuju tubuh RCI

PDRM beri jaminan turut siasat isu kartel daging

Isu kartel daging: Bukit Aman terima 13 laporan

Menurutnya, jabatan itu juga akan mengadakan perbincangan meja bulat (RTD) dengan pengimport dan pengedar daging yang akan turut disertai oleh KPDNHEP, Maqis dan JKDM.

"Perbincangan terarah kepada isu dan masalah yang dihadapi mereka serta penjelasan mengenai keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengimportan dan pengedaran akan dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jakim akan terus mempergiatkan pemantauan terhadap pengimport daging, pemegang Sijil Perakuan Halal Malaysia (SPHM) dan rumah penyembelihan.

"Jakim menginsafi isu daging import yang berlaku ketika ini. Justeru, tindakan segera telah, sedang dan akan diambil oleh jabatan ini menerusi Pelan Tindakan Menangani Isu Daging," katanya.

Abdul Aziz yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Jakim berkata, pihaknya menggalakkan industri membuat permohonan SPHM agar tiada lagi isu seperti ini berbangkit di masa hadapan.

"Sekali lagi kami menegaskan yang Jakim akan melaksanakan tugasan dengan penuh amanah, pantas dan berintegriti," katanya.