Pemotong rumput dijel lima tahun gara-gara bawa parang

Tertuduh dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa selepas mengaku salah membawa parang 17 inci ke tempat awam tanpa kebenaran.
Tertuduh dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa selepas mengaku salah membawa parang 17 inci ke tempat awam tanpa kebenaran.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Tindakan seorang pemotong rumput membawa sebilah parang panjang kira-kira 17 inci mengundang padah apabila dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Othman selepas tertuduh, Che Wan Mohd Wazir Che Wan Mohamad Razali, 35, mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah parang panjang berukuran 17 inci tanpa kebenaran yang sah di tempat awam iaitu di tepi jalan Kampung Binjai Stesen, Dungun, jam 5.15 petang, pada 15 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun penjara, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, lanjutan aduan kes cubaan pecah rumah di Kampung Binjai Tengah, Dungun, pada 15 Julai lalu, kira kira jam 5.15 petang sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Dungun ke lokasi untuk melakukan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, setibanya di tepi jalan di Kampung Binjai Stesen, Dungun iaitu lebih kurang satu kilometer dari lokasi kejadian dilaporkan, mereka ternampak tertuduh sedang memegang sebilah parang dan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Sejurus memperkenalkan diri dan memberikan amaran supaya melepaskan senjata itu, tertuduh terus bertindak menyerang anggota terlibat dengan menghayun parang yang dipegang dan enggan memberi kerjasama seperti diarahkan.

Akibat tindakannya yang dilihat semakin agresif, anggota terlibat terpaksa berundur bagi meredakan keadaan lalu tertuduh terus melarikan diri bersama senjata di tangannya.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan setelah dikejar sehingga 200 meter.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak dan tertuduh tidak diwakili peguam bela.