Pusat Koreksional Kamunting dan kuarters dikenakan PKPD bermula esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Pusat Koreksional Kamunting (Kemta), Taiping, Perak dan kuarters kakitangannya mulai Rabu sehingga 12 Januari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memaklumkan perkara itu berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan Covid-19 kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar Kemta.

"Sehingga 24 Disember 2020, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah melaksanakan sebanyak 1,490 saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 didapati positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sementara itu, memperincikan mengenai hasil operasi task force pematuhan pada Isnin, Ismail Sabri berkata, seramai 142 individu ditahan dan kesemuanya dikenakan kompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagi Op Benteng pula, seramai 16 lagi imigran berjaya ditahan serta tiga kenderaan darat dirampas.

"Sejak 24 Julai sehingga 28 Disember, seramai 93,728 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 75 hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara untuk kuarantin wajib," katanya.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: