Henti kemasukan daging import sementara waktu

Mohamad Yusrizal
Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) berharap kemasukan daging import dari luar negara ke Malaysia dihentikan sementara susulan isu kartel daging haram masih belum dapat diselesaikan.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan menghentikan import daging itu bagi menjaga kemaslahatan umat Islam.

Beliau berkata, pihaknya menerima makluman bahawa bekalan daging diimport dari beberapa negara seperti New Zealand, Bolivia dan Australia yang dikhuatiri ada keraguan status halalnya mengikut hukum Islam dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sebenarnya, isu sebenarnya telah lama berlaku sehinggalah tular sejak akhir-akhir ini. Daging yang diimport dikatakan haram tidak disembelih mengikut syarak dan menggunakan logo yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum diedarkan seluruh negara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Mohamad Yusrizal, kemasukan daging haram itu turut menjejaskan operasi perniagaan peniaga daging tempatan.

"Umat Islam gemar makan daging lembu dan apabila isu kartel daging haram timbul, maka peniaga daging tempatan yang menerima tempias dan diharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya hingga akar umbi," katanya.

Katanya, pihak berwajib misalnya Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa agama perlu mengambil tindakan bagi memastikan daging dibawa masuk dalam negara diperiksa kesahihan halalnya terlebih dahulu.

Dalam perkembangan sama, katanya, Cake sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan ketirisan dalam isu kartel daging haram tidak berlanjutan dan akan bersedia membuat desakan sama ada kerajaan atau peniaga untuk memastikan kemasukan daging haram dihentikan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Isu kartel daging: Kerajaan setuju tubuh RCI

Syarikat palsukan logo halal didakwa esok

Kaukus Dewan Negara gesa bongkar dalang kartel daging haram