Tak sempat kahwin

Zubaidah dan anak ketiganya, Nisya Auni, 21 melihat baju perkahwinan Fatin Arina yang telah siap di rumah mereka di Kampung Bukit Gading.
Zubaidah dan anak ketiganya, Nisya Auni, 21 melihat baju perkahwinan Fatin Arina yang telah siap di rumah mereka di Kampung Bukit Gading.
A
A
A

TANAH MERAH - "Macam-macam persiapan telah dibuatnya bagi meraikan majlis perkahwinan yang dijangka pada Aidilfitri ini namun semuanya tidak bermakna lagi. Dia bersama dua adik telah meninggalkan kami selama-lamanya," luah ibu kepada tiga mangsa maut akibat kemalangan di Kampung Bukit Tuku.

Zubaidah Shafie, 49, berkata, mereka hanya menunggu kad kahwin anak sulungnya dicetak sebelum diedarkan namun takdir ALLAH menentukan segalanya dan mereka menerimanya dengan reda dan yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.

Katanya, ketika kejadian ketiga-tiga anaknya, Fatin Arina Mohd Asri, 23, Haifa Amira, 22, dan Anis Suraya, 10, dalam perjalanan ke rumah ibu saudara mereka berdekatan lokasi kejadian sebelum terlibat kemalangan.

Tambahnya, anak sulungnya , Fatin Arina yang baharu sebulan bekerja di Bank Islam Pasir Mas turut memberikan wang gaji dan membelanja semua ahli keluarga mereka makan selepas menerima gaji pertama akhir bulan lalu.

"Ketika itu, dia ada cakap itu kali terakhir dia bagi duit dan belanja kami semua namun kami tidak pernah terfikir dia akan meninggalkan kami semua.

"Saya ingat, dia ingin menggunakan wang gajinya yang seterusnya bagi urusan perkahwinan yang tidak lama lagi sebab dia baharu bekerja dan tidak mempunyai wang simpanan. Selepas kejadian ini baru saya terfikir katanya-katanya," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, kereta Perodua Myvi yang dipandu Fatin Arina bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas selepas kereta tersebut terbabas dan masuk ke laluannya.

Fatin Arina dan Anis Suraya maut di tempat kejadian manakala Haifa Amira meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas.

Artikel Berkaitan:

Jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Mukim Bukit Gading pada jam 12.30 tengah hari tadi dengan dihadiri lebih 200 ahli keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiga beradik maut, dua parah