New York lulus undang-undang halang penyewa diusir

Penyewa kediaman akan dilindungi undang-undang daripada diusir oleh pemilik hartanah semasa pandemik Covid-19 melanda New York. - Foto AFP
Penyewa kediaman akan dilindungi undang-undang daripada diusir oleh pemilik hartanah semasa pandemik Covid-19 melanda New York. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Wakil-wakil rakyat di Dewan Perhimpunan Negeri New York pada Isnin meluluskan undang-undang yang menghalang penyewa diusir keluar oleh pemilik premis atau tanah semasa pandemik Covid-19 belum berakhir.

Undang-undang baharu itu diluluskan semasa sesi khas perundangan negeri iaitu beberapa hari sebelum larangan pengusiran yang wujud ketika ini bakal berakhir pada hujung tahun ini.

Tindakan terbaharu itu melarang tuan tanah daripada mengusir penyewa yang tidak mampu membayar sewa mereka untuk selama 60 hari, lapor akhbar New York Times.

Ia juga melindungi ramai tuan tanah kecil-kecilan yang mempunyai 10 atau kurang unit perumahan daripada berdepan risiko kediaman mereka dirampas oleh pihak pemberi hutang kerana ketiadaan penyewa.

"Kami mahu memastikan pemilik rumah dilindungi dan ia tidak akan menjejaskan rating kredit mereka dan tidak ada rampasan gadai janji," kata Gabenor negeri New York, Chris Cuomo seperi dilaporkan AFP.

Undang-undang itu juga memperbaharui pengecualian cukai untuk golongan warga emas dan orang kelainan upaya yang memiliki kediaman.

Akhbar New York Times menggambarkan tindakan tersebut sebagai undang-undang antipengusiran yang paling komprehensif.

Ia menghalang mahkamah membuat prosiding tentang pengusiran penyewa-penyewa daripada kediaman yang disewa mereka.

Artikel Berkaitan:

Undang-undang itu juga menghalang daripada berlakunya prosiding baharu pengusiran para penyewa sehingga pada 1 Mei tahun depan. - Agensi