Menyamar ejen insurans, ibu tunggal didakwa

Mei Lin (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa kerana menyamar sebagai ejen insurans hingga membabitkan kerugian mencecah hampir RM1 juta.
Mei Lin (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa kerana menyamar sebagai ejen insurans hingga membabitkan kerugian mencecah hampir RM1 juta.
A
A
A

MELAKA - Padah menyamar sebagai ejen insurans, seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 19 pertuduhan membabitkan kerugian mencecah hampir RM1 juta.

Loo Mei Lin, 48, yang merupakan pengerusi sebuah syarikat pembinaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah memperdayakan Teh Eet Meng, 54, dengan menyamar sebagai ejen insurans yang berdaftar bagi membeli 16 polisi sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM626,40.98.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Mei Lin juga didakwa di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan cek Citibank milik mangsa sama berjumlah RM93,500.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan kertas pertuduhan empat sehingga 19, tertuduh didakwa telah memalsukan tandatangan milik penama Yap Soo Hui, 27, pada borang permohonan insurans.

Bagi tindakan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara November 2013 sehingga Julai 2015 dengan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM719,902.98.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad dan Mazuin Hashim mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira jumlah kerugian ditanggung mangsa adalah tinggi.

Tertuduh yang diwakili peguam Nizam Bashir, Linda Phua dan Rajsurian Pillai bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal dan perlu menyara tiga orang anak, selain menghidap penyakit jantung dan masalah kewangan akibat pandemik.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua 19 pertuduhan dan menetapkan tarikh sebut semula kes pada 20 Januari depan.