X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Paderi OKU didakwa lagi kes cabul kehormatan

Jee Jon Hoon, 55, yang juga warga Korea menghadapi pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki pada 20 tahun lalu.
A
A

GEORGETOWN - Seorang paderi orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak hari ini menghadapi pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki pada 20 tahun lalu di Mahkamah Majistret Georgetown di sini.

Jee Jon Hoon, 55, yang juga warga Korea dituduh dengan perbuatan mencabul termasuk menyentuh kemaluan, memeluk dan mencium pipi dan bibir mangsa yang berumur 30 tahun ketika kejadian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat Lorong Delima 3, Gelugor 11700 daerah Timur Laut pada tahun 2000.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh pada prosiding hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam G Shanmugam.

Shanmugam memohon jaminan RM5,000 kerana sepanjang 25 tahun tertuduh berada dalam negara, dia tidak pernah terlibat dengan kesalahan jenayah.

Majistret Rosnee Mohd Ridzuan kemudian membenarkan RM6,000 jaminan dengan dua orang penjamin.

Rosnee juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 9 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Sebelum ini pada 18 Disember lalu, tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan mencabul kehormatan dua lelaki pada 2013 dan 2017 di Mahkamah Majistret Butterworth.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua lelaki yang kini berusia 28 dan 27 tahun dengan niat mencabul kehormatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Paderi OKU didakwa cabul dua lelaki


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!