Dua kumpulan bergaduh rebut kawasan

Seramai 15 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah pada Isnin.
Seramai 15 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Polis memberkas 15 lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 35 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, semakan mendapati empat daripada suspek memiliki rekod lampau bersabit kes curi dan merusuh selain seorang daripadanya juga pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Siasatan awal mendapati dua kumpulan ini terlibat dalam pergaduhan bermula di kawasan Lembah Jaya dan terus membawa ke kawasan tempat tangkapan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah.

"Senjata yang digunakan dipercayai topi keledar dan kayu. Punca kejadian akibat perebutan kawasan untuk kuasa dan kegiatan pemerasan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pergaduhan turut menyebabkan lima suspek cedera di kepala dan luka di badan.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas.

"Kesemua suspek yang ditahan direman empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: