Kerajaan akan kaji model penjagaan warga emas

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergurau senda dengan adik Muhammad Adam Wafiq Mohd Izwanie,8, (dua, kanan) yang ditemani ibunya Zuriana Zakaria,37, (tiga, kanan), selepas merasmikan Tasputra Perkim di Jalan Lingkungan U-Thant hari ini.- Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergurau senda dengan adik Muhammad Adam Wafiq Mohd Izwanie,8, (dua, kanan) yang ditemani ibunya Zuriana Zakaria,37, (tiga, kanan), selepas merasmikan Tasputra Perkim di Jalan Lingkungan U-Thant hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan kajian diagnostik bagi membentuk model penjagaan warga emas jangka panjang yang bersepadu dan mampan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu bertujuan untuk memperbaiki serta meningkatkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara di bawah Dasar Warga Emas.

“Kita buat satu kajian yang menyeluruh sekarang ini, ramai anak yang mengabaikan dan mereka bekerja, tidak ada kesempatan untuk menjaga ibu bapa sebab mereka sendiri pun tertekan dengan ekonomi dan kehidupan mereka.

“Jadi kita tengok secara menyeluruh, sebab kalau menghukum namun tidak menyelesaikan masalah pun salah juga,” katanya selepas merasmikan Tasputra Perkim iaitu pusat asuhan harian dan latihan untuk kanak-kanak kelainan upaya di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata pertubuhan sukarela kebajikan dilihat sebagai ‘daya kuasa yang kuat’, yang dapat mengembleng usaha-usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosial dalam kalangan masyarakat.

Dr Wan Azizah berkata, usaha kementeriannya, KPWKM, secara bersendirian tidak mungkin mampu untuk menangani semua isu yang dihadapi golongan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Jalinan perkongsian bijak atau smart partnerships dengan pertubuhan sukarela kebajikan merupakan satu daripada kaedah pelaksanaan yang cukup berkesan.

“Kami di kementerian sentiasa mengalu-alukan komitmen serta menggalakkan pertubuhan sukarela kebajikan mahupun sektor korporat untuk mewujudkan sinergi yang diperlukan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata pada tahun lepas, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan RM13,673,866.80 untuk 224 buah pertubuhan sukarela kebajikan termasuk pertubuhan sukarela kebajikan yang mempunyai pusat jagaan seperti Tasputra Perkim.

Katanya, pada 2018 juga Tasputra Perkim menerima Elaun OKU sebanyak RM52,200.00 dan Geran Rangsum untuk keperluan makan minum kanak-kanak sebanyak RM 33,132.00 daripada JKM.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menggalakkan pertukaran kemahiran antara pertubuhan bagi membolehkan pertubuhan sukarela yang mempunyai pusat jagaan mempelajari amalan terbaik untuk dipraktikkan di pusat jagaan masing-masing.

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru pertubuhan sukarela kebajikan agar tidak terlalu bergantung dan berharap kepada bantuan geran yang disediakan oleh kementerian untuk menjayakan program dan aktiviti mereka.

Dr Wan Azizah berharap pertubuhan sukarela kebajikan yang telah menerima geran dapat berdikari dan berdiri teguh dengan sokongan dan bantuan pihak korporat serta sumber kewangan lain selain daripada kementerian. - Bernama