MBJB unjur pendapatan RM498.28 juta tahun 2021

Adib Azhari
Adib Azhari
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjangkakan hasil pendapatan untuk tahun 2021 diunjurkan berjumlah RM498.28 juta.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, pendapatan itu daripada kutipan hasil cukai RM340.25 juta dan kutipan hasil bukan cukai RM119.16 juta.

Beliau memberitahu, pendapatan tersebut termasuk terimaan bukan hasil sebanyak RM38.86 juta.

"Bagi perbelanjaan mengurus merangkumi pembayaran emolumen, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan, pemilikan harta modal, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta lain-lain perbelanjaan, jumlahnya RM265.35 juta iaitu 52.37 peratus daripada jumlah perbelanjaan.

"Anggaran Perbelanjaan Pembangunan pada tahun 2021 pula diperuntukkan RM241.31 juta iaitu 47.63 peratus daripada jumlah perbelanjaan," katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Ibu Pejabat MBJB, di sini pada Selasa.

Katanya, jumlah itu menjadikan keseluruhan anggaran perbelanjaan bagi tahun depan adalah sebanyak RM506.66 juta.

Sehubungan itu katanya, belanjawan MBJB tahun 2021 adalah belanjawan defisit iaitu sebanyak RM8.29 juta.

Jelasnya, Bajet MBJB 2021 dirangka dengan mengambil kira aspek pembangunan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Ini dibuktikan melalui jumlah peratus yang tinggi diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan, di mana ia secara langsung dan tidak langsung dapat membantu kelangsungan kitaran ekonomi," katanya.

Katanya, tujuannya juga bagi memastikan segala perkhidmatan dan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan demi kepentingan warga Bandaraya Johor Bahru.

Sementara itu, beliau berkata, MBJB sudah mewartakan untuk memasang Sistem Pemantauan Kualiti Udara iaitu PM10 dan PM2.5 di beberapa kawasan perindustrian yang juga berdekatan dengan kawasan perumahan sedia ada.

"Tujuannya untuk penjagaan kesihatan dan keselamatan warga bandar raya ini. Pemasangan sistem ini merupakan langkah pencegahan awal pintar yang dapat mengesan kewujudan bahan-bahan terampai halus di udara di peringkat awal tanpa menjejaskan kesihatan penduduk, pengusaha ataupun pekerja di kawasan perindustrian dalam jangka masa yang panjang.

"MBJB turut mencadangkan pemasangan sistem ini di kawasan pusat bandar berhampiran dengan pusat imigresen dan kuarantin (CIQ) kerana kadar kemasukan kenderaan keluar masuk di pintu antarabangsa paling selatan di Malaysia terlalu tinggi dan menggunakan masa yang lama sebelum memasuki negara jiran," katanya.