Xin Xing, panda tertua di dunia mati

Xin Xing ketika sambutan hari lahirnya yang ke 38 tahun. - Foto Rex Features
Xin Xing ketika sambutan hari lahirnya yang ke 38 tahun. - Foto Rex Features
A
A
A

BEIJING - [DIKEMASKINI] Xin Xing, panda tertua di dunia dilaporkan mati pada usia 38 tahun di Zoo Chongqing di barat China.

The Sun melaporkan usianya itu dianggarkan menyamai usia manusia iaitu kira-kira 130 tahun.

Pengumuman berita kematian haiwan itu dibuat Isnin lalu melalui akaun WeChat zoo berkenaan selepas dua minggu haiwan itu dilaporkan mati.

Xin Xing dilahirkan ketika musim panas pada 1982 di tempat perlindungan panda di Baoxing, Sichuan.

Ia dibawa ke Zoo Chongqing sebelum usianya cukup setahun.

Panda yang namanya bermaksud 'bintang baru' dilaporkan mempunyai 36 anak yang kebanyakannya tinggal di Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Panda berkenaan merupakan nenek dan moyang kepada puluhan spesies itu dan digelar ibu pahlawan.

Xin Xing menyambut ulang tahunnya yang ke-38 pada Ogos dengan hidangan kek diperbuat daripada makanan kegemarannya, termasuk rebung dan buah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa itu, penjaganya, Zhang Naicheng, 56, berkata, haiwan itu seperti ahli keluarganya kerana mereka sering menghabiskan masa bersama-sama.

"Saya (sebenarnya) ingin terus menjaga dan membantunya untuk hidup sekurang-kurangnya 40 tahun.

"Kami tua bersama dan menjadikannya panda paling lama hidup," katanya.

Sebelum ini, seekor panda lain diberi nama Jia Jia dilaporkan mati pada 2016 juga pada usia 38 tahun.

Pada Oktober lalu, kesihatan Xin Xing mulai merosot setelah sering lesu dan hilang selera makan sebelum mengalami sukar bernafas serta ketidakseimbangan juga bengkak di perut.

Pakar perubatan cuba merawat haiwan itu tetapi tidak berjaya.

Hasil bedah siasat mendedahkan haiwan itu mati akibat kegagalan beberapa organ kerana faktor usia.

Dianggarkan, terdapat kurang daripada 1,900 panda gergasi yang masih hidup di dunia yang kebanyakan tinggal di hutan di barat daya China.

Menurut WWF, jangka hayat panda di antara usia 14 hingga 20 tahun.

Bagaimanapun, jika seekor panda dapat hidup dalam lingkungan hingga 30 tahun seperti mana Xin Xing mencapai usia pada 38 tahun, ia sesuatu yang mengagumkan.