RM100 juta untuk gerakan koperasi

Rozdeen
Rozdeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan untuk menyalurkan sebanyak RM100 juta dana Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) kepada gerakan koperasi di Malaysia bagi tahun 2021.

Pengarah Bahagian Pembiayaan dan Kawalan Kreditnya, Rozdeen Mohd Jaafar berkata, inisiatif tersebut dapat merancakkan proses pemulihan ekonomi Malaysia pasca-Covid-19.

Menurutnya, sasaran itu meningkat sebanyak RM30 juta berbanding RM70 juta permohonan yang diluluskan sepanjang tahun ini.

“Kita sasarkan pembiayaan dana TMP meningkat setiap tahun iaitu sehingga RM150 juta pada tahun 2025.

“Sebab itu, SKM sangat menggalakkan koperasi merebut peluang memohon pembiayaan TMP yang patuh syariah dan telah diperkenalkan sejak tahun 1985,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabat SKM di sini pada Isnin.

Dana Kumpulan Wang Amanah (KWA) TMP SKM sebelum ini dikenali sebagai TMP JPK dan ia mendapat peruntukan setiap tahun daripada Kementerian Kewangan (MOF).

Jenis-jenis Pembiayaan Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Jenis-jenis Pembiayaan Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Mengulas lanjut, Rozdeen berkata, SKM telah menguruskan sebanyak RM2.3 bilion pembiayaan melalui TMP sejak tahun 1985 sehingga kini melibatkan peruntukan yang diterima daripada MOF berjumlah RM1.2 bilion dalam tempoh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah maksimum pembiayaan TMP adalah sebanyak RM10 juta dan koperasi perlu meletakkan cagaran yang bergantung kepada nilai pembiayaan, misalnya bagi pembiayaan sehingga RM50,000, cagarannya adalah sijil simpanan tetap atau jaminan bank.

“Dari segi kelayakan memohon, koperasi perlu didaftarkan sekurang-kurangnya 18 bulan, telah mengadakan mesyuarat agung semasa, penyata kewangan tahun semasa telah diaudit, pentadbiran dan pengurusan koperasi mengikut perundangan serta projek beri manfaat kepada anggota dan dilaksanakan sendiri oleh koperasi,” katanya.