Lebih 4,000 dari zon merah sukarela buat penilaian risiko

Pengunjung dari zon merah yang mahu ke Terengganu digalakkan membuat saringan bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri itu. - Foto Bernama
Pengunjung dari zon merah yang mahu ke Terengganu digalakkan membuat saringan bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri itu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 4,308 individu dari kawasan zon merah Covid-19 yang berkunjung ke Terengganu, telah membuat penilaian risiko di klinik dan hospital di negeri itu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada 7 Disember lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua individu itu datang secara sukarela, susulan pengumuman pihaknya yang menggalakkan pengunjung dari zon merah berbuat demikian, bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri ini.

“Hasil saringan tersebut, seramai 21 individu telah disahkan positif Covid-19 dan enam daripada 433 kontak rapat yang telah dikenal pasti, juga didapati positif Covid-19.

“Keseluruhannya, jumlah kes Covid-19 yang positif adalah 27 orang. Kesemua mereka telah dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan, manakala semua kontak rapat pula telah dikuarantin sama ada di rumah atau di pusat kuarantin yang telah disediakan jabatan,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Dr Nor Azimi berkata, tindakan individu yang datang membuat penilaian risiko itu sangat dipuji, kerana ia membantu jabatan dalam membuat tindakan pencegahan yang lebih awal dan berkesan.

“Bayangkan jika 27 kes positif itu tidak dikesan awal. Sudah pasti mereka akan menjangkiti keluarga atau rakan sekerja dan penularan akan menjadi lebih besar.

“Sebab itu pihak kami sangat menghargai tindakan jujur mereka datang membuat saringan secara sukarela walaupun akhirnya mereka didapati positif Covid-19. Kami yakin ramai lagi yang tidak datang membuat saringan. Sebab ini hanya nasihat bukan arahan wajib,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, penilaian risiko yang dilakukan itu membolehkan pengesanan kontak rapat, ujian saringan, rawatan dan isolasi dibuat dengan lebih pantas.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga tahu susulan pengumuman ini bakal memberikan beban tambahan kepada petugas kesihatan. Tetapi kami berpegang kepada prinsip 'no harm doing more but it is harmful doing less',” katanya. - Bernama