Semua pihak autoriti digesa bekerjasama

Gambar kecil: Datuk Nadzim Johan
Gambar kecil: Datuk Nadzim Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua pihak berautoriti menjalinkan kerjasama bagi memastikan isu daging diragui status halal dapat dibendung serta ditangani segera.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata, ia juga bagi meningkatkan lagi keberkesanan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kerjasama semua agensi sangat penting kerana kita tidak mahu timbul keadaan di mana ada pihak menuding jari antara satu sama lain dan lepas tangan dalam perkara ini.

“Kita mahu semua pihak melaksanakan kerja-kerja melindungi rakyat, justeru kerjasama erat antara semua agensi perlu supaya tidak terganggu gugat dengan bidang tugas atau spesifikasi kerja masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee bahawa pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu penipuan penyeludupan daging kerana ia berada di luar bidang kuasa jabatan tersebut.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, semua agensi terlibat mungkin terikat dengan garis panduan tugasan masing-masing.

“Sebab itu kita mahu agensi-agensi ini berkolaboratif antara satu sama lain untuk mewujudkan satu cara kerja yang senada dan harmoni supaya banyak kemungkinan seperti salah laku yang dibuat boleh ditangani segera.

“Masalah ini (kartel daging haram) sudah lama berlarutan.

Artikel Berkaitan:

“Ia melibatkan keselamatan pengguna. Jika cara kerja masih di takuk lama dan tidak diubah, masalah tersebut tidak akan selesai.

“Mungkin sebelum ini ada antara jabatan atau agensi terlibat bermasalah, jadi bila semua bekerjasama, impak serta keberkesanannya jauh luar biasa.

“Tidak timbul soal kelompangan dalam apa juga keadaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gudang kartel proses daging babi

Kartel tukar daging haram jadi halal

Kartel daging: Ada pihak ciplak sijil halal Jakim