Kuasa politik penentu pemodenan

A
A
A

ANGKATAN Tentera Filipina kini sedang melaksanakan pelan pemodenan selama 15 tahun yang dikenali sebagai program Horizon bermula dari tahun 2012 hingga 2027 dengan anggaran peruntukan sebanyak AS$40 bilion.

Pelan pemodenan mega itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Horizon I bermula pada 2012-2017, Horizon II (2018-2022) dan Horizon III (2023-2027). Ia melibatkan pembelian kapal perang, pesawat udara, dron, sistem pengawasan, komunikasi dan pelbagai persenjataan. Ia juga membuka peluang ekonomi kepada negara pembekal.

Fasa Horizon II dijangka memerlukan peruntukan sebanyak AS$5 bilion, manakala belanjawan bagi Horizon III belum dimuktamadkan. Ketika ini, fokus Presiden Rodrigo Duterte adalah untuk memperkasa kemampuan tentera dalam operasi melawan keganasan dan ancaman dalam negara kerana modenisasi angkatan tentera akan memberi impak terhadap kestabilan politik.

Amerika Syarikat (AS) masih lagi pembekal utama kelengkapan pertahanan Filipina walaupun terdapat persaingan negara-negara seperti Israel, Korea Selatan, Itali, Sepanyol, Perancis, Sweden, Jerman, Rusia dan China.

Antara yang mencuri perhatian adalah prapersetujuan Jabatan Pertahanan AS bagi penjualan helikopter penggempur sama ada enam buah AH-64E Apache bernilai AS$1.5 bilion atau AH-1Z Viper bernilai AS$450 juta.

Perolehan menerusi Program Jualan Asing itu bagaimanapun masih belum diputuskan oleh Manila yang pada masa sama turut berminat mendapatkan helikopter penggempur T129 ATAK bua-tan Turki. Begitu juga perbincangan dengan India untuk menoktahkan hasrat Filipina memperoleh sistem peluru berpandu supersonik BrahMos yang boleh membedil sasaran pada jarak kira-kira 290 kilometer.

Kesediaan beberapa negara menawarkan pelbagai kelengkapan pertahanan kepada Filipina turut menarik perhatian pemerhati luar, selain timbul andaian bahawa Manila memperkasa kekuatan berikutan tuntutan terhadap Sabah.

Sebenarnya, isu keselamatan dalam negara lebih membelenggu Manila terutama pengalaman perit berhadapan dengan ancaman militan semasa Pertempuran Marawi pada tahun 2017.

Artikel Berkaitan:

Kepimpinan tentera negara itu juga sejak 30 tahun lalu bergelut dengan ahli-ahli politik berhubung kehendak untuk memperkuat pertahanan negara, selain bergantung kepada persenjataan sumbangan negara-negara sahabat.

Malah, jika diteliti aset-aset baharu yang dibeli pula, jumlahnya terlalu kecil berbanding saiz negara tersebut dan pasukan tenteranya yang berada pada kedudukan 48 terkuat di dunia.

Dari sudut politik, agenda pemodenan angkatan tentera Filipina di bawah iltizam Duterte dan pemikiran strategik para penasihat ketenteraannya kini dilihat memberi suntikan moral.

Malaysia sendiri pernah melalui fasa sama apabila rancangan pemodenan secara berperingkat antara tahun 2000 hingga 2010 lalu adalah hasil perancangan sejak 10 tahun sebelumnya.

Tempoh itu disifatkan sebagai perolehan gemilang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila aset-aset yang diimpikan diterima seperti sistem peluru berpandu pertahanan udara Jernas, sistem sensor peperangan elektronik Vera-E, kereta kebal PT-91M Pendekar, kapal selam, kapal peronda dan pesawat SU-30MKM Sukhoi.

Turut diterima adalah sistem pelancar roket berganda Astross, helikopter EC-725, helikopter Agusta AW109 dan pesawat pengangkut Airbus A400M.

Namun, masih ada senarai hasrat ATM yang belum direalisasikan, misalnya komponen organik pada Briged Pasukan Aturgerak Cepat seperti kenderaan armor peninjau dan rejimen mortar kaliber sederhana.

Penambahan rejimen kereta kebal juga belum menjadi realiti, selain cadangan memiliki sistem artileri mudah gerak bagi dipadankan dengan operasi briged armor. Perhatian untuk mengganti sistem artileri pertahanan udara juga kerap berubah menyebabkan aset sedia ada semakin ketinggalan.

Kepimpinan politik negara kita sepatutnya mempunyai iltizam sepertimana Duterte merancang pemodenan tenteranya.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu