X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak timbul isu kenaikan harga produk pertanian Cameron Highlands

Wan Rosdy
A
A

KUANTAN - Tidak timbul isu kenaikan harga produk pertanian dari Cameron Highlands kerana nilai sewaan tanah RM4,500 setahun tidak memberikan kesan besar kepada keuntungan petani dan peraih, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, kadar sewaan berkenaan telah dikaji dan bersesuaian dengan keadaan semasa serta tidak membebankan petani di kawasan tumpuan pelancong itu.

"Nilai RM900 sewaan bagi seekar (0.4 hektar) tanah setahun ialah kadar TOL (lesen pendudukan sementara) dan tidak termasuk cukai dan pembayaran lain, manakala nilai RM4,500 bagi seekar tanah setahun ialah pembayaran keseluruhan yang terangkum.

"Bayaran RM4,500 setahun (RM375 sebulan) ini adalah lebih rendah berbanding dengan kadar sewaan tanah persendirian sebanyak RM12,000 hingga RM14,000 bagi seekar tanah dalam masa setahun," katanya dalam catatan laman Facebook beliau pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa kemungkinan berlaku kenaikan harga sayur dari Cameron Highlands susulan kadar sewaan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri tersebut.

Menurut Wan Rosdy, bayaran itu juga boleh dibuat secara ansuran sebanyak empat kali dalam setahun kepada Pahang Corporation Sdn Bhd.

"Bayaran RM4,500 ini akan digunakan oleh kerajaan Pahang untuk pembangunan negeri, terutamanya dalam usaha memulihkan semula alam sekitar yang telahpun terkesan teruk oleh aktiviti pertanian yang dijalankan selama ini.

"Kaedah penyewaan 3+2 yang diperkenalkan ini turut juga diambil kira daripada rungutan pekebun yang mengadu bahawa kaedah penyewaan TOL sebelum ini sukar kerana mereka terpaksa memperbaharui lesen menduduki tanah tersebut setiap tahun," jelasnya.

Malah, Wan Rosdy berkata, tidak timbul isu kesukaran untuk mendapat pembiayaan daripada pihak bank kerana kerajaan negeri dimaklumkan institusi perbankan seperti AgroBank dan Maybank bersetuju dengan syarat kaedah penyewaan terbaharu berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri terbuka kepada sebarang kritikan mana-mana pihak, namun sebarang pendapat dan kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan fakta.

Pada 19 November lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dilaporkan berkata, Pahang Corporation Sdn Bhd menetapkan kadar sewaan tanah pertanian sebanyak RM4,500 seekar (0.4 hektar) setahun kepada pekebun di Cameron Highlands

Menurut Mohd Soffi, seorang pekebun hanya dibenarkan menyewa tidak melebihi tiga ekar (1.2 hektar) dengan tempoh pajakan selama 10 tahun dan proses pengurusan pemberian sewa, secara keseluruhannya akan melibatkan empat fasa. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!