X

Kindly register in order to view this article
!

PTPTN santuni asnaf di Selangor

Saipolyazan (dua dari kanan) menerima replika cek dari Ahmad Dasuki sebagai simbolik penyerahan dalam satu majlis di Shah Alam pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi agihan wakalah zakat di bawah program Kasihku Zakat Selangor kepada asnaf di negeri ini.

Penyerahan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan peruntukan berjumlah RM96,500 melibatkan Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) di Selangor dan Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, menerusi Program Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin), PTPTN memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk membantu 500 orang anak-anak asnaf dan setiap seorang menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100.

"Bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah pula, sebanyak RM46,500 diberikan kepada seramai 155 pelajar dalam bentuk simpanan SSPN-i dimana setiap seorang menerima sebanyak RM300," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Majlis simbolik penyampaian replika cek disempurnakan Ahmad Dasuki bersama Ketua Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, sebagai tabung pendidikan utama negara, PTPTN mahu memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses terbaik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kami tidak mahu ada yang tercicir dalam pendidikan akibat masalah kewangan.

"Dalam usaha ini, PTPTN sentiasa mencari peluang untuk membantu masyarakat terutama mereka yang kurang bernasib baik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!