Tanam nanas cobek di tanah terbiar milik kerajaan

Che Abdullah (kiri) bersama Zulkifli (kanan) dan hadirin menanam anak pokok nanas cobek sebagai simbolik perasmian Ladang Nanas Cobek Kolej Vokasional Bachok di Tangok, Bachok pada Isnin.
Che Abdullah (kiri) bersama Zulkifli (kanan) dan hadirin menanam anak pokok nanas cobek sebagai simbolik perasmian Ladang Nanas Cobek Kolej Vokasional Bachok di Tangok, Bachok pada Isnin.
A
A
A

BACHOK - Seluas sembilan hektar tanah terbiar milik kerajaan di Kolej Vokasional Bachok di Tangok di sini dimanfaatkan dengan penanaman nanas cobek dan MD2 yang bakal memberi pulangan hasil tuaian pengeluaran pertama berjumlah RM1.2 juta pada Mei depan.

Hasil dijangka diperoleh daripada penanaman nanas siri pertama membabitkan sejumlah 30,000 anak pokok nanas cobek atau nanas variasi Ananas Comosus manakala 17,000 anak pokok Milie Dilard 2 atau MD2 yang ditanam pada keluasan 1.6 hektar tanah terbiar berkenaan bermula pada Mac lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek berkenaan adalah usahasama antara Koperasi Kolej Vokasional Bachok dan Syarikat Kota Eze Sdn Bhd.

Beliau berkata, proses penanaman nanas memakan masa setahun sebelum hasilnya sedia untuk dituai dan dalam tempoh itu akan dilakukan semburan hormon secara serentak pada usia pokok empat bulan.

Mat Hasan Mat Noh, 71, yang bertanggungjawab menguruskan projek tanaman nanas cobek dan MD2 siri pertama di Bachok.
Mat Hasan Mat Noh, 71, yang bertanggungjawab menguruskan projek tanaman nanas cobek dan MD2 siri pertama di Bachok.

“Semburan hormon perlu dilakukan serentak bagi membolehkan kesemua pokok dapat menghasilkan buah pada masa yang sama dan memudahkan kerja-kerja penuaian hasil pengeluaran.

“Cara ini dilakukan bagi merancang pemasaran supaya bekalan nanas terus kekal dan dapat menampung permintaan tinggi yang diterima dalam negara,” katanya selepas Program Lawatan Kerja di Ladang Nanas Cobek Kolej Vokasional Bachok di Tangok di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Bachok, Wan Afthanorhan Wan Aftuluddin; Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan, Mohd Zamani Ab Ghani dan Pengarah Urusan Kota Eze Sdn Bhd, Datuk Zulkifli Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) melalui LPNM memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta pada tahun ini bagi membantu pekebun nanas di negeri ini untuk memperkembangkan perusahaan nanas mereka.

“Sehingga November lalu, seramai 103 pekebun nanas di Kelantan menerima inisiatif bantuan bertujuan pemasaran nanas segar dan produk asas tani seperti jus nanas, tart nanas dan jem.

“Selainnya, Persatuan Pengusaha-pengusaha Nanas Negeri Kelantan (PPNK) membantu pemasaran melalui rangkaian kios atau restoran dinamakan The Pine Station di setiap daerah yang kini terdapat enam iaitu tiga di Kota Bharu manakala masing-masing satu di Pasir Puteh, Pasir Mas dan Machang,” katanya.

Che Abdullah (tengah) bersama Wan Afthanorhan (kiri); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perupok, Mohd Huzaimy Che Husin (dua dari kiri); Mohd Zamani (dua dari kanan) dan Zulkifli (kanan) mencuba nanas cobek yang dihidangkan kepada mereka.
Che Abdullah (tengah) bersama Wan Afthanorhan (kiri); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perupok, Mohd Huzaimy Che Husin (dua dari kiri); Mohd Zamani (dua dari kanan) dan Zulkifli (kanan) mencuba nanas cobek yang dihidangkan kepada mereka.

Beliau menambah, sektor penanaman nanas negara tahun lalu seluas 16,000 dengan nilai pengeluaran berjumlah RM500 juta.

“Negeri utama nanas ialah Johor, Sarawak, Sabah, Pahang dan Kedah, manakala Kelantan yang berpotensi besar disasarkan menjadi antara negeri utama tanaman nanas dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Untuk rekod, tahun lalu seluas 300 hektar tanaman nanas di negeri ini yang menyumbang nilai pengeluaran berjumlah RM7 juta.