Wanita maut dalam nahas lima kenderaan

Keadaan Perodua Myvi dipandu mangsa, S Puganeswari, 42, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Bentong ke Raub pada Isnin. - Foto Ihsan polis
Keadaan Perodua Myvi dipandu mangsa, S Puganeswari, 42, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Bentong ke Raub pada Isnin. - Foto Ihsan polis
A
A
A

BENTONG - Seorang wanita maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 3 Jalan Bentong ke Raub di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kejadian melibatkan sebuah treler jenis Scania, masing-masing sebuah Proton Wira dan Perodua Myvi serta dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai S Puganeswari, 42, yang merupakan pemandu Perodua Myvi dan beralamat Taman Cheras Awana, Selangor.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dari Raub menuju ke Kuantan hilang kawalan.

"Pemandu treler tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang Proton Wira. Treler itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi berkenaan.

"Pada masa sama, Proton Wira itu melanggar belakang kedua-dua Toyota Wish yang berada di hadapannya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan membabitkan lima kenderaan Kilometer 3 Jalan Bentong ke Raub pada Isnin.- Foto Ihsan polis
Kemalangan membabitkan lima kenderaan Kilometer 3 Jalan Bentong ke Raub pada Isnin.- Foto Ihsan polis

Kamarulzaman berkata, Puganeswari yang merupakan suri rumah tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong yang tiba.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

"Pemandu treler terbabit tidak cedera namun hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira, Mohd Saiful Azwan Ishak, 30, yang juga seorang anggota tentera dari Kem Bentong mengalami luka pada bahagian kaki dan tangan kanan.

Katanya, dua penumpang iaitu isterinya, Intan Diana Esha, 32, dan anak mereka, Muhammad Faid Amsyar, 2, cedera di kepala.

"Mangsa-mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.