Rakyat Malaysia di luar negara tidak boleh disekat pulang

Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan PKPP dan PPKPB di Kementerian Pertahanan (MinDef) hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan PKPP dan PPKPB di Kementerian Pertahanan (MinDef) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak boleh menyekat rakyat Malaysia dari negara yang melaporkan strain baharu Covid-19 daripada pulang ke tanah air, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, itu adalah jaminan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malah, ketika kes Covid-19 tinggi di India, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan juga dibenarkan pulang, katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan menyekat kemasukan pengembara termasuk rakyat Malaysia dari negara yang merekodkan strain baharu Covid-19 seperti United Kingdom, Afrika Selatan dan Hong Kong.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun rakyat Malaysia yang pulang dari negara terbabit perlu menjalani kuarantin dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Beliau juga menegaskan hingga kini sempadan negara masih belum dibuka kepada pelancong asing.

Pada September lepas, kerajaan tidak membenarkan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia dan senarai itu termasuk Afrika Selatan dan United Kingdom.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengenakan SOP lebih ketat bagi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati tahap pematuhan rakyat rendah.

Artikel Berkaitan:

“Jika rakyat gagal mematuhinya dan KKM berasakan perlu kembalikan SOP asal (seperti semasa PKP) iaitu lebih ketat, saya tidak menolak perkara itu berlaku (dilaksanakan),” katanya.

Ismail Sabri berkata, KKM juga menjalankan pemantauan kepatuhan SOP setiap dua minggu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri. - Bernama