X

Kindly register in order to view this article
!

Canggih sambut ulang tahun ke-25

100 peratus pekerja Canggih terdiri daripada warga tempatan.
A
A

MENGINJAK usia 25 tahun, My-Sutera Sdn Bhd (Canggih) kini boleh berbangga dengan pencapaiannya apabila jenama itu yang mula diperkenalkan pada tahun 1995 kini semakin kukuh bertapak dalam industri pengeluaran barangan keperluan sekolah dengan jutaan pelanggan setia.

Pengerusi Kumpulannya, Annas Ahmad berkata, bersempena ulang tahun ke-25 Canggih pada tahun ini, pihaknya tetap meraikannya namun dengan cara berbeza untuk menghargai pelanggan setia dan rakan-rakan agensi kerajaan, korporat, swasta dan sebagainya.

Menurutnya, tiada sambutan spesifik untuk meraikan ulang tahun kali ini secara besar-besaran memandangkan negara masih dalam keadaan sukar disebabkan pandemik Covid-19 dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun sambutan yang kita buat lebih kepada mengadakan program-program peraduan atau pertandingan yang menawarkan pelbagai hadiah berupa wang tunai dan barangan.

“Kami akan mengadakan pertandingan video #SayaRinduSekolah di Instagram dan TikTok serta pertandingan video #PencarianCanggih2Gen di Facebook dan Instagram,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, idea mengadakan pertandingan video #SayaRinduSekolah di Instagram dan TikTok tercetus berikutan tahun 2020 merupakan satu sejarah bagi pelajar-pelajar, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia kerana tidak dapat ke sekolah, tidak dapat belajar, berjumpa, bermain dan bergurau dengan rakan-rakan serta guru seperti biasa.

Disebabkan itu katanya, pihaknya yakin ramai pelajar yang rindu untuk kembali ke sekolah dan menerusi pertandingan tersebut, Canggih memberi peluang kepada mereka untuk menggambarkan perasaan serta sebab mengapa mereka rindu untuk ke sekolah.

Katanya, 15 video terbaik yang akan dihakimi dalam bentuk ‘Likes’ terbanyak dan keputusan hakim dengan nisbah 80:20 akan diberikan hadiah wang tunai RM1,000.

“Bagi pertandingan video #PencarianCanggih2Gen di Facebook dan Instagram, kami membuka peluang kepada ibu atau bapa bersama anak-anak untuk menyerlahkan kreativiti mereka sebagai dua generasi yang memakai baju sekolah Canggih.

“Ini kerana pada tahun 1996, semasa baju sekolah jenama Canggih mula diperkenalkan, mereka yang berumur tujuh tahun pada tahun tersebut telah memulakan persekolahan Darjah Satu dan kini setelah 25 tahun, mereka mungkin berumur 32 atau 33 tahun dengan anak yang telah memasuki alam persekolahan.

“Jadi kami mencari dua generasi ini yang bangga memakai baju sekolah Canggih semasa zaman persekolahan ibu dan atau bapa dan kini anak mereka juga memakai baju sekolah Canggih,” katanya.

Ibu bapa boleh membeli keperluan sekolah jenama Canggih di schoolmall.com.my pada harga diskaun yang tinggi.
Ibu bapa boleh membeli keperluan sekolah jenama Canggih di schoolmall.com.my pada harga diskaun yang tinggi.

Menurutnya, 10 video terbaik yang akan dihakimi dalam bentuk ‘Like’ terbanyak dan keputusan hakim dengan nisbah 80:20 akan diberi hadiah wang tunai RM1,000.

Selain itu Annas berkata, Canggih akan mengadakan promosi harga runtuh untuk tempoh masa yang terhad dan buat julung kalinya turut menawarkan kepada pelanggan diskaun produk terpilih daripada Canggih sehingga 40 peratus.

Menurutnya, Canggih juga melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan baucar diskaun berbentuk QR Code kepada organisasi tertentu melalui pembelian di schoolmall.

“Cabutan bertuah bagi pembelian RM200 ke atas di schoolmall.com.my dan Canggih akan membuat cabutan bertuah yang boleh disertai secara automatik bagi pembelian barangan melebihi RM200 di schoolmall,” katanya.

Keperluan sekolah lengkap di Schoolmall.com.my

Bagi terus memperkukuh jenama Canggih serta memenuhi kehendak pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan sekolah menerusi atas talian (online), satu platform atau ‘market place’ yang mengkhusus kepada barangan keperluan sekolah sahaja telah dibangunkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Canggih, Masnizam Hisham berkata, platform itu dikenali sebagai schoolmall.com.my iaitu satu platfom pelbagai vendor yang membolehkan ibu bapa membeli secara dalam talian segala keperluan sekolah.

Beliau berkata, schoolmall.com.my memudahkan para pembeli Canggih untuk membuat pilihan produk barangan keperluan persekolahan yang ditawarkan.

“Canggih menjual produknya secara atas talian sejak tahun 2017, namun penjualan hanya terhad kepada barangan keluaran jenama Canggih dan kategori barangan pun terhad.

“Namun kini, Canggih bukan sahaja mengeluarkan produk baju sekolah tetapi telah mengembangkan senarai produknya kepada kasut sekolah, beg sekolah, pakaian sukan, stokin dan sebagainya.

“Selain itu, melalui schoolmall.com.my kita berharap dapat mencapai matlamat untuk mensinonimkan jenama Canggih dengan sekolah seperti yang sering diuar-uarkan, ‘Ingat Sekolah Ingat Canggih’, ‘Canggih Rakan Persekolahan Anda’ dan ‘Canggih One Stop Centre Untuk Keperluan Sekolah’,” katanya.

Masnizam berkata, pelbagai kategori barangan disediakan di dalam schoolmall lengkap untuk pelajar memulakan persekolahan di tahun baharu antaranya pakaian sekolah dan kokurikulum, buku sekolah dari penerbit terkenal di Malaysia, kasut sekolah, beg sekolah, pakaian sukan, keperluan pelajar Muslim seperti telekung dan jubah, botol air dan bekas makanan, alat tulis dan banyak lagi.

Menurutnya, harga ditawarkan sangat menarik dengan diskaun yang tinggi.

Katanya, sebagai pengilang barangan Canggih, pihaknya mampu menawarkan diskaun yang tinggi di dalam platform schoolmall, selain memberikan ‘harga runtuh’ sebagai promosi besar-besaran bagi tempoh waktu tertentu untuk menarik pelanggan membeli secara online dan Canggih akan menghantarnya ke rumah.

Beliau berkata, pendapatan yang disumbangkan oleh penjualan melalui online atau ecommerce Canggih sebelum ini meningkat lebih 250 peratus pada musim Kembali Ke Sekolah sesi 2020 jika dibandingkan tahun 2019.

Dalam pada itu Masnizam berkata, berpandukan kepada pengalaman Canggih sebagai kontraktor pembekal peralatan dan pakaian sekolah kepada lembaga zakat, kerajaan negeri, Yayasan, syarikat berhad dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihaknya mendapati terdapat keperluan mewujudkan satu platform yang membolehkan penerima sumbangan membuat pilihan barangan persekolahan yang diperlukan.

Menurutnya, melalui pemberian kad sumbangan dengan tiga nilai berbeza iaitu RM100, RM150 atau RM200, penyumbang boleh menyerahkan kad sumbangan itu dan penerima pula bebas memilih daripada pilihan yang banyak, barangan keperluan mereka.

Beliau berkata, penyumbang juga tidak perlu gusar sumbangan mereka disalahguna kerana platfom schoolmall.com.my sememangnya hanya menjual barangan keperluan sekolah.

“Penerima sumbangan hanya perlu memasukkan nombor baucar yang terdapat di atas kad sumbangan setelah menggores pelekat keselamatan mengikut nilai sumbangan yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, Canggih menyedari keperluan memenuhi kepuasan pelanggannya di dalam era digital dan akan terus memastikan teknologi baharu seperti data analitik, augmented realiti dan ‘mass customization’ akan diterapkan di platfom schoolmall pada masa akan datang selaras keperluan Industri 4.0.

“Besar harapan kami agar jenama Canggih dapat terus memberikan kepuasan kepada pelanggan dengan memberikan perkhidmatan lebih diperibadikan menggunakan teknologi digital pada masa akan datang, selain meneroka pasaran antarabangsa bersama rakan strategik yang bertapak di luar negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!