Padah tipu kelulusan kuota pekerja asing KDN

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipenjara tujuh bulan dan seorang lagi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana menipu seorang pengarah syarikat berhubung kelulusan kuota pekerja asing Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM25,000 tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Mohd Amir Othman, 55, manakala Muhammad Zarul Ariff Mohd Zawawi, 26, didenda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah memerintahkan Mohd Amir menjalani hukuman penjara bermula 25 Jun lalu iaitu pada hari pertama dia dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozina menasihati tertuduh agar mengambil iktibar atas kesalahan yang dilakukan agar mereka tidak mengulangi kesilapan sama.

“Saya harap awak berdua jadi contoh yang baik buat anak-anak dan adik-beradik,” katanya kepada Mohd Amir, sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan dan Muhammad Zarul Ariff yang bekerja di pusat pemprosesan ayam.

Terdahulu Mohd Amir yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Sumitra Devi merayu hukuman penjara yang singkat manakala Muhammad Zarul Ariff yang diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri memohon hukuman denda minimum kerana itu kesalahan pertamanya.

“Tertuduh (Muhammad Zarul Ariff) juga berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma atau vokasional dan bekerja di pusat pemprosesan ayam... Direman selama empat hari cukup memberi pengajaran kepada dirinya,” kata Muhamad Aizat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas dengan niat bersama telah menipu Lim Yaw Shing, 53, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka telah menguruskan proses mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing daripada KDN bagi Syarikat Amelint Textile Sdn Bhd tetapi mereka tidak melaksanakannya.

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong Yaw Shing untuk menyerahkan wang RM25,000 di tempat letak kenderaan kawasan Rehat dan Rawat, Awan Besar, Lebuh Raya Kesas, di sini, pada jam 4.35 petang, 13 Mac 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Prosiding pada Isnin ditetapkan untuk perbicaraan bagaimanapun kedua-dua tertuduh menukar pengakuan mereka kepada bersalah selepas ditawarkan pertuduhan pilihan berikutan pihak pendakwaan menerima representasi tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas (Abdul Razman Mutokhir) dengan menyatakan kepada Lim bahawa mereka boleh menguruskan permohonan tersebut dengan bayaran penuh sebanyak RM75,000.

Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga tertuduh tidak bekerja dan mereka juga tiada kaitan dengan Jabatan Imigresen atau KDN. - Bernama