X

Kindly register in order to view this article
!

Pengunduran Ahmad buka dimensi baharu dalam politik

Syed Agil
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Datuk Seri Ahmad Hamzah tidak bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tepat dan sesuai pada masanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, pengunduran Ahmad dapat memberikan laluan kepada tokoh politik muda di kawasan berkenaan.

"Ini sekali gus memberikan satu dimensi baharu kepada kepimpinan politik baharu di kawasan tersebut dengan mengetengahkan pemimpin-pemimpin berkebolehan dan boleh diterima oleh penduduk setempat.

"Namun, khidmat Datuk Seri Ahmad Hamzah tidak terputus di situ sahaja kerana beliau boleh berkhidmat sebagai penasihat kepada pucuk pimpinan yang baharu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, Ahmad yang berusia 72 tahun itu berkata, hasrat itu dinyatakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh baru-baru ini.

Beliau berkata, tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat selama enam penggal iaitu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam (1995 hingga 2008) dan Ahli Parlimen Jasin (2008 hingga kini) dilihat telah memadai.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan sudah tiba masanya untuk beliau bersara daripada dunia politik.

Sementara itu, ada pihak menyifatkan keputusan Ahmad wajar dicontohi bagi membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengubah landskap politik tanahair pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Malah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berusaha menyerlahkan pembabitan golongan muda dalam politik melalui platform politik Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Untuk rekod, selain pemimpin di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), rata rata pemimpin-pemimpin kanan di negara ini berada dalam lingkungan umur 65 hingga 95 tahun.

Pemimpin paling veteran dan masih aktif adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berusia 95 tahun, diikuti pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, 81.

Sementara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berusia 73 tahun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (73) dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (72).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!