Kedah belum sedia buka sempadan Malaysia-Thailand

Muhammad Sanusi ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di Sik pada Isnin.
Muhammad Sanusi ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di Sik pada Isnin.
A
A
A

SIK - Kerajaan negeri belum bersedia untuk mencadangkan agar pintu sempadan Malaysia-Thailand di tanah besar negeri itu dibuka bagi tujuan pelancongan memandangkan trend peningkatan Covid-19 masih tinggi di negara jiran terbabit.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembukaan pintu sempadan di tanah besar negeri itu akan memberi risiko tinggi jangkitan Covid-19 kepada rakyat negara ini.

"Kita belum bersedia lagi untuk mencadangkan pintu sempadan dibuka di tanah besar sebab kes Covid-19 di Thailand dilihat masih meningkat yang dikatakan berpunca daripada orang Myanmar yang bekerja dalam sektor industri di negara itu," katanya ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan.

Muhammad Sanusi berkata, pembukaan sempadan negara Malaysia-Thailand akan memberi risiko sama seperti pelancong dari negara itu yang akan memasuki Pulau Langkawi.

"Risiko seperti ini yang kita tak mahu, jika pelancong dari sana seperti dari Satun ke Langkawi pun kita belum bersedia," katanya.

Sebelum ini, Nancy berkata, kementerian kini di peringkat rundingan bersama negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan zon hijau.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berharap kerajaan membenarkan pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah Covid-19 ke Langkawi bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, cadangan itu sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa pelancong antarabangsa dari negara yang berisiko rendah ke Langkawi menerusi Program Gelembung Pelancongan (Bubble Tourism) Qatar Airways.

"Perdana Menteri sudah meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji mengenai cadangan kita bagi membantu sektor pelancongan," katanya.

Menurutnya, bagi melaksanakan cadangan itu, Qatar Airways akan menyusun lokasi yang akan dilawati dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Contohnya seperti kereta kabel, seminggu sebelum pelancong antarabangsa datang, mereka sudah berbincang waktu yang sesuai untuk pelancong antarabangsa berada di situ dahulu sebelum disanitasi untuk giliran pelancong tempatan pula," katanya.