Kedah akan mula rundingan rasmi isu air

Muhammad Sanusi ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di Sik pada Isnin.
Muhammad Sanusi ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di Sik pada Isnin.
A
A
A

SIK - Kerajaan Kedah akan memulakan proses rundingan rasmi berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah kepada Pulau Pinang dengan seberapa segera.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mengarahkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah untuk berbuat demikian bersama agensi berkaitan dari kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, Kedah tetap dengan pendirian tegas mahu menuntut bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang.

"Selain menghantar surat, kita akan buat mesyuarat di peringkat pegawai, peringkat exco dan mungkin sampai ke peringkat ketua menteri dan menteri besar," katanya ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di sini pada Isnin.

Muhammad Sanusi menjelaskan, tuntutan rasmi melalui surat telah dihantar kepada Pulau Pinang beberapa kali sebelum ini, namun tidak diendahkan.

Katanya, surat kepada kerajaan Persekutuan telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa permohonan lain.

"Kita minta kerajaan Persekutuan menjadi pemudah cara dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa di Parlimen, saya dengar beliau sendiri minta Pulau Pinang bayar kepada Kedah," katanya.

Pada Ahad, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan menunggu sebarang tindakan yang akan diambil kerajaan Kedah berhubung bayaran caj air mentah dari Sungai Muda.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang rundingan rasmi antara kedua-dua negeri dibuat sejak isu terbabit dibangkitkan sebelum ini.