Cuepacs gesa siasat kes buli doktor

ADNAN
ADNAN
A
A
A

MELAKA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan siasatan dalaman berhubung isu buli membabitkan doktor.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya telah menerima laporan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mendedahkan sebanyak 66.9 peratus doktor di negara mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam terutama golongan muda yang berusia 26 hingga 35 tahun.

Menurutnya, budaya buli dalam alam pekerjaan terutama di bidang profesional dan kritikal seperti doktor tidak wajar dan tidak boleh diterima sekali gus bimbang gejala buli ini akan menjadikan emosi dan kualiti kerja pengamal perubatan ini terjejas.

"Gejala buli ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mangsa, bahkan merisikokan nyawa pesakit yang menerima rawatan daripada doktor-doktor yang menjadi mangsa buli ini.

"Satu siasatan dalaman perlu dilakukan bagi memastikan gejala buli ini dicegah dengan lebih berkesan selain dapat menyelesaikan aduan yang timbul," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Presiden ANULAE Semenanjung Malaysia, Datuk Azih Muda.

Tambah beliau, KKM perlu mengemukakan data mengenai budaya buli dalam kalangan doktor mahupun petugas kesihatan lain termasuk jumlah kes yang diselesaikan serta tindakan yang diambil selain menyediakan kaedah atau cara kes buli ini disiasat bagi memberi keyakinan kepada warga kerja.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tiba masanya kerajaan dan KKM bertindak tegas dalam mengatasi masalah ini selain bekerjasama dengan Cuepacs dan MMA secara berterusan untuk membendung masalah ini kerana budaya buli ini boleh menjadi virus yang menjejaskan nilai, etika serta moral pekerja.

"Justeru, Cuepacs menggesa KKM mengambil perhatian serius laporan kajian daripada MMA ini bagi membendung gejala buli ini daripada terus berlaku," katanya.