X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga pengunjung Pasar Payang positif Covid-19

Rekod kemasukan bagi pendaftaran MySejahtera yang disediakan dipintu masuk utama Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU – Orang ramai diminta lebih berwaspada susulan terdapat tiga kes positif Covid-19 dikesan terhadap tiga pengunjung yang berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang di sini, sejak minggu lalu.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Isnin.

“Walaupun hasil saringan mendapati tiada peniaga dijangkiti pandemik itu, tiga kes pengunjung yang didapati positif Covid-19 menunjukkan kita sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan lebih-lebih lagi dengan bilangan pengunjung yang ramai sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengamalkan penjarakkan fizikal.

“Saya harap semua pihak terus menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pastikan mendaftar MySejahtera, atau pada buku rekod kemasukan. Ini penting untuk tujuan mengesan kontak jika berlaku kes,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus menerusi kenyataan dimuat naik di media sosial Facebooknya pada Ahad berkata, tiada kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Payang.

“Tiada kes Covid-19 dikesan di Pasar Payang Kuala Terengganu hasil saringan bersasar yang dijalankan sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal oleh pihak Jabatan Kesihatan berikutan terdapat sejarah beberapa kes positif Covid-19 telah pergi membeli belah di situ.

“Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berurusan jual beli. Langkah ini perlu kerana kita tidak tahu status orang sekeliling kita.

“Mungkin mereka tiada gejala namun siapa tahu mereka mungkin pembawa virus Covid-19. Bukan hanya di Pasar Payang tetapi di semua premis yang ramai pengunjung,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, sehingga Ahad, Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan lima kes baharu Covid-19 menjadikan terdapat 16 kes Covid-19 aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 301 kes.

Kesemua 16 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu (15 kes) manakala satu kes di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!