Ubat tradisional tidak berdaftar bernilai RM14 juta dirampas

Sahabudin (depan) dan Arnie (tengah) menunjukkan ubat tidak berdaftar yang dirampas dari empat suspek dalam dua serbuan pada Khamis.
Sahabudin (depan) dan Arnie (tengah) menunjukkan ubat tidak berdaftar yang dirampas dari empat suspek dalam dua serbuan pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua beradik dan sepasang suami isteri ditahan bersama pelbagai jenis ubat-ubatan tradisional tidak berdaftar bernilai RM14 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam dan Butterworth pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Pulau Pinang.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Machang Indah, Bukit Mertajam pada jam 10 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis menahan tiga individu tempatan iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun dan sepasang suami isteri berusia 44 dan 48 tahun. Pemeriksaan mendapati, kilang itu memproses pil serta ubat-ubatan yang tidak berdaftar.

"Pihak JKNPP telah merampas 22 jenis ubat tidak berdaftar yang bernilai RM2 juta di situ. Susulan daripada itu, kita menyerbu sebuah lagi kedai di Taman Kencana, Butterworth dan seorang lagi lelaki berusia 50 tahun iaitu abang kepada suspek pertama ditahan," katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Sahabudin berkata, hasil pemeriksaan di premis itu, JKNPP merampas 156,777 botol pelbagai jenama ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM12 juta.

"Kedua-dua premis (kilang dan kedai) itu merupakan tempat sindiket tersebut menjalankan kegiatan memproses ubat-ubatan tidak berdaftar sejak awal tahun ini. Pasaran mereka adalah di seluruh negara serta luar negara.

"Suspek pertama adalah penyewa kilang dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Sementara pasangan suami isteri pula adalah pekerja di kilang tersebut manakala suspek ketiga mempunyai satu rekod lampau,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, polis mengadakan intipan dan risikan sejak beberapa minggu lalu berikutan mengesyaki terdapat kegiatan memproses dadah di kilang tersebut.

"Bagaimanapun, setelah serbuan dibuat, kita mendapati kilang tersebut menjalankan kegiatan memproses ubat-ubatan tidak berdaftar.

"Kesemua suspek dibebaskan pada hari sama setelah pihak JKNPP mengambil keterangan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNPP, Arnie Fadzilah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ubat-ubatan tidak berdaftar itu dijual di kedai-kedai ubat Cina di seluruh negara selain platform e-dagang serta pasaran di Vietnam.

"Semua ubat itu tidak berdaftar termasuk ubat untuk menaikkan berat badan serta ubat tradisional. Pemeriksaan juga mendapati kilang tersebut tidak mempunyai lesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berdaftar untuk memproses ubat-ubatan.

"Semua ubat itu sangat berbahaya kerana mampu merosakkan buah pinggang berikutan mengandungi bahan tidak terkawal seperti steroid," katanya.

Sahabudin berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.