Istana Budaya jangka kutip RM700,000 hutang tertunggak penaja

Istana Budaya - Foto Portal Rasmi Istana Budaya
Istana Budaya - Foto Portal Rasmi Istana Budaya
A
A
A

ISTANA Budaya jangka dapat mengutip sehingga RM700,000 daripada 37 syarikat yang masih belum melunaskan hutang penajaan mereka sejak 2010.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata bayaran hutang tertunggak itu perlu dijelaskan oleh syarikat berkenaan yang turut menempah slot pementasan di Istana Budaya tahun ini.

"Jika mereka (syarikat penaja) ingin mendapatkan slot pementasan, mereka perlulah menjelaskan hutang yang ada terlebih dahulu.

"Untuk mengelakkan hutang bertambah, kita kena bertegas dengan semua pihak dan akan menyenarai hitam mereka yang bermasalah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 37 syarikat yang menaja persembahan di Istana Budaya tetapi masih belum melangsaikan hutang tertunggak berjumlah kira-kira RM3 juta sejak 2010.

"Apa yang kita dapat lihat, selepas perkara ini dilaporkan media, ada antara mereka yang sudah mula mengambil langkah agresif untuk membayar hutang.

“Malah, kita juga memberi peluang kepada mereka untuk membayar hutang secara ansuran. Sekurang-kurangnya usaha untuk melangsaikan hutang yang tertunggak sudah ada," katanya.

Bagaimanapun, Istana Budaya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang masih culas, tegas Mohamed Juhari.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini, kita tidak akan bagi muka lagi. Kita terpaksa bersikap lebih agresif kerana perkara ini memberi imej yang kurang baik kepada Istana Budaya. Kita bukan mahu menakutkan mereka sebaliknya memberikan rasa bertanggungjawab selain mereka seharusnya mempunyai kewangan yang mantap serta jangan berharap kepada pulangan jualan tiket semata-mata," katanya.

Enggan masalah sama berulang, Mohamed Juhari berkata Istana Budaya terpaksa menukar prosedur operasi standard sejak tahun lepas.

”Selain daripada membayar deposit, mereka juga harus membayar 50 peratus sewaan panggung sebelum pementasan bermula. Kita terpaksa melakukannya sebagai usaha mengurangkan masalah ini," katanya. - Bernama