Trump tandatangani RUU bantuan Covid-19

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

MOSCOW - Presiden Donald Trump menandatangani rang undang-undang (RUU) bantuan Covid-19 dan perbelanjaan kerajaan, antara lain merangkumi faedah pengangguran dan tambahan dana untuk pengedaran vaksin.

“Saya menandatangani RUU ini untuk memulihkan faedah pengangguran, menghentikan pengusiran, memberikan bantuan sewaan, menambah dana untuk PPP, membolehkan pekerja syarikat penerbangan kembali bekerja, menambah lebih banyak dana untuk pengedaran vaksin, dan banyak lagi," kata Trump dalam satu kenyataan pada Ahad.

Trump menyatakan akan menghantar kembali ‘versi yang telah disusun semula’ ke Kongres, meminta 'perbelanjaan yang tidak perlu' dikeluarkan daripada RUU itu, lapor Agensi Berita Sputnik.

Terdahulu, Trump menjanjikan beberapa 'berita baik mengenai RUU Bantuan Covid-19' di Twitter.

Awal bulan ini, setelah berbulan-bulan berbahas, Republikan dan Demokrat menyetujui rancangan bantuan Covid-19 bernilai AS$900 bilion dan peruntukan perbelanjaan kerajaan AS$1.4 trilion yang dihantar kepada Trump untuk ditandatangani.

Bantuan Covid-19 itu termasuk pembayaran individu sebanyak AS$600 untuk warga Amerika yang memenuhi syarat.

Trump, yang akan mengakhiri penggalnya pada 20 Januari, tidak turut serta dalam perbahasan selama berminggu-minggu. Tetapi mengejutkan kedua-dua pihak apabila menolak menandatangani RUU tersebut, menyebut bantuan peribadi AS$600 sebagai "mengaibkan" dan menuntut jumlah itu ditambah kepada AS$2,000 bagi tiap seorang atau AS$4,000 setiap keluarga.

"Pada Isnin Dewan akan mengundi untuk meningkatkan pembayaran kepada individu dari AS$600 kepada AS$2,000. Dengan itu, keluarga dengan empat ahli akan menerima AS$5,200.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Kongres telah berjanji Seksyen 230, yang hanya memberi manfaat kepada Big Tech berbanding rakyat Amerika, akan dikaji semula, sama ada akan dihentikan atau sebahagian besar akan dipinda," kata Trump.

Peruntukan perbelanjaan kerajaan memerlukan tandatangan presiden sebelum 29 Disember untuk meneruskan insurans pengangguran mingguan kepada rakyat Amerika dan mengelakkan pentadbiran kerajaan ditutup. - Bernama