Ketua Pemuda Pas dilantik Ahli Dewan Negara

Khairil mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di Parlimen pada Isnin. -Foto Parlimen Malaysia
Khairil mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di Parlimen pada Isnin. -Foto Parlimen Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Parlimen pada Isnin.

Pemuda berusia 41 tahun kelahiran Kampung Tengku Hussein, Ipoh, Perak itu merupakan lantikan baharu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Khairil yang juga bekas jurutera Petronas dan merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Khairil dalam kenyataan melahirkan rasa syukur di atas pelantikan yang disifatkan sebagai satu tanggungjawab yang besar kepadanya untuk membawa suara anak muda ke Dewan Negara.

"Saya mewakili seluruh Pemuda Pas dan PN merakam jutaan terima kasih kerana diberi peluang dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara pada hari ini.

"Sudah tentu pelantikan ini bukan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah yang cukup berat untuk dilaksanakan.

"Saya bermula sebagai seorang anak muda tipikal yang lain. Selepas menjadi graduan, saya bekerja makan gaji. Kadang kala terpaksa berjimat dan mengikat perut.

"Justeru, saya dengan penuh sedar menawarkan diri untuk memperjuangkan beberapa isu melingkari kehidupan anak muda Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menggariskan empat fokus utama yang akan diberikan tumpuan antaranya kepada kemenjadian jati diri anak muda Malaysia yang bermula daripada keberkesanan sistem pendidikan terutama di peringkat menengah dan tertiari (tinggi).

Selain itu, beliau juga akan memberikan fokus kepada pengurangan kadar pengangguran anak muda, penjanaan peluang pekerjaan, penambahan nilai pekerjaan dan peningkatan produktiviti serta upah gaji.

"Ketiga, fokus kepada kesejahteraan hidup anak muda yang mesti dipupuk daripada keharmonian institusi keluarga, sistem sokongan, pemilikan harta dan literasi kewangan peribadi.

"Keempat, fokus kepada pengukuhan tanggungjawab anak muda kepada pembangunan masyarakat dan pembinaan negara bangsa.

"Insya-ALLAH, saya bersedia untuk memeras keringat dan segenap daya upaya untuk memastikan keempat-empat fokus utama ini diperjuangkan secara konsisten dan upaya," katanya.

Dalam masa sama, beliau juga mengajak lebih ramai aktivis dan ideolog anak muda di luar sana untuk bersama-sama membina semula negara dan mensejahterakan Malaysia.

Terdahulu, Pas menganggotai kerajaan PN pada awal tahun ini. Susulan itu beberapa Ahli Parlimen Pas juga telah dilantik menganggotai Kabinet kerajaan PN dan turut menerajui pelbagai agensi.