Pelaku letupan bom di Nashville dikenal pasti

Gambar fail menunjukkan kemusnahan akibat letupan bom dari sebuah kenderaan rekreasi di Nashville pada Jumaat lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kemusnahan akibat letupan bom dari sebuah kenderaan rekreasi di Nashville pada Jumaat lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki yang disyaki meletupkan bom di Nashville, Tennessee pada pagi Krismas lalu telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa pada Ahad.

Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia dalam letupan tersebut.

"Kami membuat kesimpulan bahawa seorang individu yang bernama Anthony Warner merupakan seorang pengebom. Dia berada di tempat kejadian apabila bom meletup dan mati dalam pengeboman itu," kata seorang pendakwa raya persekutuan, Don Cochran pada satu sidang akhbar.

Ejen khas yang mengendalikan pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Memphis, Dough Korneski berkata, tidak ada petunjuk bahawa individu lain terlibat dalam kejadian tersebut.

Pihak berkuasa berkata, maklumat lanjut berhubung motif kejadian itu tidak dapat diberikan berikutan siasatan masih dilakukan namun menambah Warner pada mulanya tidak berada dalam senarai pelaku letupan tersebut.

Pada Sabtu lalu, polis melaporkan Warner berusia 63 tahun sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan letupan tersebut yang datang dari sebuah kenderaan rekreasi (RV) yang diparkir di tepi jalan raya.

Anthony Warner. - Foto CBS
Anthony Warner. - Foto CBS

Satu rakaman suara dari kenderaan itu memberi amaran kepada orang ramai tentang letupan tersebut akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa telah menggeledah sebuah rumah di Antioch, sebuah kawasan perumahan di Nashville tetapi ketika itu enggan mengesahkan jika seorang suspek sudah dikenal pasti dalam kejadian tersebut.

Letupan pada Jumaat lalu di bandar Nashville yang terkenal sebagai ibu kota untuk muzik berirama country itu telah merosakkan kira-kira 40 buah bangunan dan mencederakan tiga orang lagi.

Pihak berkuasa turut menemui tisu manusia di lokasi kejadian.

Ketua Biro Siasatan Tennessee, David Roush mengesahkan pada sidang akhbar berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) adalah sepadan dengan yang terdapat di dalam kenderaan digunakan oleh Warner.

Polis berkata sebelum ini, letupan bom tersebut sengaja dilakukan tetapi motif kejadian masih belum diketahui. - AFP