West Brom berhak bawa pulang satu mata

Semi Ajayi (dua, kanan), menjaringkan gol penyamaan West Brom pada perlawanan berkenaan.
Semi Ajayi (dua, kanan), menjaringkan gol penyamaan West Brom pada perlawanan berkenaan.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp menegaskan West Brom berhak membawa pulang satu mata berharga apabila berjaya mengikat skuad kendaliannya itu 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Isnin.

Menurut Klopp dengan formasi 6-4-0, skuad kendalian Sam Allardyce itu telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan khususnya bagi mengekang asakan-asakan Liverpool.

“Saya tidak fikir sesiapa juga boleh menjangkakan sesebuah pasukan akan beraksi (bertahan) seperti ini khususnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh West Brom pada separuh masa pertama.

“Pada separuh masa kedua, aksi kita mulai goyah apabila lawan mula mengatur serangan balas ke pintu gol kami dan akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan.

“Apa pun, ia adalah kesilapan kami hingga terpaksa melepaskan tiga mata berharga dan sekadar berpuas hati meraih satu mata di gelanggang sendiri,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Liverpool membuka jaringan menerusi Sadio Mane pada minit ke-12, namun Semi Ajayi menjaringkan gol penyamaan buat West Brom pada minit ke-82.

Keputusan berkenaan bagaimanapun menyaksikan skuad The Reds itu masih gah di puncak EPL dengan 32 mata berbanding West Brom yang berada pada kedudukan kedua tercorot dengan hanya lapan mata setelah mengharungi 15 perlawanan setakat ini.

Sementara itu Klopp berkata, kesebelasan The Reds dilihat tidak beraksi seperti biasa pada perlawanan berkenaan, tetapi sebaliknya dilihat lebih banyak mempersia-siakan peluang di depan pintu gol lawan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemain seharusnya memberikan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan berkenaan, namun West Brom dilihat berjaya mengekang asakan-asakan yang diatur.

“Bagi saya, ia satu cabaran apabila terpaksa berdepan pasukan seperti West Brom kerana mereka telah beraksi dengan baik selama 90 minit.

“Mereka menampilkan aksi berbeza dan bagi saya mereka sememangnya berhak untuk meraih mata berharga daripada perlawanan ini,” katanya.