Jaket kalis peluru baharu untuk unit MPV polis

Zainal Abidin (tiga dari kanan) mencuba ketahanan 'reflective bulletproof vest level II with anti stab' di Padang Kawad IPK Johor pada Isnin.
Zainal Abidin (tiga dari kanan) mencuba ketahanan 'reflective bulletproof vest level II with anti stab' di Padang Kawad IPK Johor pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia ( PDRM) akan memberi keutamaan kepada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) yang merekodkan kadar jenayah yang tinggi untuk menerima 'reflective bulletproof vest level II with anti stab'.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, antara kontinjen tersebut ialah Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan menerusi Belanjawan 2018 telah meluluskan perolehan pembelian jaket itu bagi kegunaan anggota unit peronda (MPV) polis dan buat permulaan, 800 jaket telah diagihkan kepada IPK terlibat.

"Satu Malaysia kita akan beri jaket ini, cuma keutamaan kepada IPK yang merekodkan kadar jenayah yang tinggi. Sebagai contoh di Johor, kita beri 100 jaket ini kerana kontinjennya besar mempunyai 13 daerah polis dan berisiko tinggi seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Dengan pembekalan jaket keselamatan ini, ia akan dapat memberikan keyakinan kepada petugas MPV polis dan meningkatkan semangat dalam menjalankan tugas dengan lebih sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Reflective BulletProof Vest Level II With Anti Stab dan Baju Amanita di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Polis, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kor Chin.

Zainal Abidin berkata, jaket 'reflective bulletproof vest level II with anti stab' itu mampu memberi perlindungan daripada tikaman peralatan tajam seperti pisau dan perlindungan balistik terhadap tembakan daripada peluru Caliber 9 MM.

Artikel Berkaitan:

"Jaket juga berfungsi membalikkan cahaya sebagai pelindung kepada anggota polis yang bertugas khususnya pada waktu malam atau keadaan gelap, seterusnya menjadi alatan keselamatan sokongan yang perlu digunakan semasa bertugas," katanya.

Dalam pada itu Zainal Abidin berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan tambahan untuk membeli 'reflective bullet proof vest level II with anti stab' pada tahun hadapan.