Rais tegur sikap Ahli Dewan Negara 'menghilang'

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pada Isnin menegur sikap sesetengah Ahli Dewan Negara yang didapati ‘menghilang’ selepas menandakan kehadiran mereka.

Rais berkata kehadiran di Dewan Negara penting bukan hanya pada sesi perbahasan sahaja, tetapi juga pada sesi lain bagi membolehkan isu dan soal kepentingan rakyat dibincangkan serta dibela.

“Telah dibawa ke pengetahuan saya bahawa sebahagian daripada Yang Berhormat (YB) selepas menekan butang dalam dewan ini bagi menandakan kehadiran, mereka tidak lagi dilihat pada hari berkenaan dan amalan ini selepas diteliti harus ditiadakan di dewan ini.

“Kita telah bersumpah akan menumpahkan taat setia serta mempertahankan Perlembagaan, untuk itu kehadiran di dewan ini hendaklah seperti tuntutan semangat itu,” katanya semasa ucapan alu-aluan pelantikan selepas majlis mengangkat sumpah Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin sebagai senator baharu.

Khairil Nizam mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Khairil Nizam mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama

Terdahulu, Khairil Nizam, 41, yang merupakan lantikan baharu Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah di hadapan Rais.

Rais berharap Khairil Nizam akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya sebagai golongan profesional untuk memberi nilai tambah kepada Dewan Negara.

Katanya, kepakaran dan pengalaman itu bukan sahaja boleh digunakan ketika sesi persidangan dewan, tetapi juga meliputi semua aspek bersesuaian dengan kedudukan Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara.

Artikel Berkaitan:

‘’Sebagai Ahli Dewan Negara, tanggungjawab perlu dilunaskan sebaik mungkin kerana Dewan Negara merupakan rentas parti dan ahli perlu menzahirkan khidmat bakti menerusi dewan yang mulia ini,” katanya. - Bernama