Tujuh cadangan tangani isu daging haram

Sinar Harian menerusi laporan khasnya mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan. Gambar kecil: Rusman Kemin
Sinar Harian menerusi laporan khasnya mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan. Gambar kecil: Rusman Kemin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor mencadangkan tujuh penambahbaikan dalam menangani isu kartel daging import tidak disembelih yang diletak logo halal dan dijual di pasaran Malaysia bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, pertamanya kerajaan perlu memperketatkan undang-undang yang melibatkan bahan makanan import.

Kedua katanya, melipatgandakan pemeriksaan ke atas premis-premis pemprosesan makanan selain membuat pembaharuan kepada logo halal bersesuaian dengan perkembangan semasa.

"Begitu juga bertindak pantas menangani isu-isu dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja manakala kelima manfaatkan sepenuhnya media kerajaan untuk mendidik masyarakat supaya peka dengan pengambilan makanan yang halal dan sihat.

"Keenam pula mengenakan hukuman yang berat kepada kakitangan kerajaan yang terlibat sebagai dalang dalam hal ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian menerusi laporan khasnya mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Ketujuh katanya, menyediakan akses yang mesra dan mudah kepada rakyat untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Pas Johor katanya, berharap isu-isu yang menjadi kebimbangan masyarakat Islam di Malaysia dan sekian lama kurang diberi perhatian dapat diselesaikan segera.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rusman berkata, Pas Johor turut menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kastam, majlis agama negeri-negeri dan semua pihak berkuasa yang terlibat supaya lebih sensitif dalam isu itu.

Pas Johor memandang serius isu berkenaan dan juga isu-isu seumpamanya yang telah berbangkit sebelum ini antaranya isu ayam di pasar raya yang tidak disembelih sempurna.

Selain itu katanya, isu ikan patin di Perak yang diternak dengan memberi makan bangkai khinzir dan isu penyimpanan daging halal dan haram dalam satu tempat.

"Isu kebanyakan dapur-dapur hotel di negara ini yang tidak patuh syariah dan pelbagai isu lain berkaitan makanan yang tidak patuh syariah," katanya.