ATM Guardians belum mengalah

Aksi ATM Guardians ketika berdepan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aksi ATM Guardians ketika berdepan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

DEBARAN saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 sampai ke kemuncaknya apabila persaingan minggu ketujuh yang juga minggu terakhir Liga Premier bakal bermula hari ini hingga 31 Disember nanti.

Berdasarkan kepada kedudukan selepas berakhirnya minggu keenam pada Sabtu, Kuala Lumpur Thunder (KL Thunder) hanya menanti detik terbaik untuk ditabalkan selaku juara pada edisi kali ini.

Atas kertas, satu kemenangan sahaja lagi sudah memadai buat KL Thunder yang sejak saingan lagi disebut-sebut seabagai calon terbaik dimahkotakan juara Liga Premier STL 2020.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, KL Thunder masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengumpul 30 mata manakala ATM Guardians di tempat kedua dengan 24 mata diikuti Johor Tigris di tempat ketiga dengan 22 mata.

Biarpun menyedari peluang untuk mengejar kedudukan KL agak sukar, ATM Guardians tetap berazam memberikan aksi terbaik pada saingan minggu ketujuh.

Pengurus ATM Guardians, Mejar Tajul Hisyam Mamat berkata, anak-anak buahnya telah diingatkan agar tetap berusaha memberikan aksi terbaik tanpa memikirkan status KL Thunder.

“Kalau ada rezeki untuk mengejar KL Thunder, kami akan kejar tetapi jika tidak, kami tetap berpuas hati sekiranya mampu menamatkan saingan STL tahun ini di tempat kedua.

“Ia sudah dianggap satu pencapaian yang baik buat kami. Apa pun, kami akan tetap mencuba sedaya upaya sepanjang aksi minggu terakhir ini,” katanya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan jadual minggu ketujuh, ATM Guardians bakal berdepan Johor Tigris esok diikuti Penang Black Panthers (30 Disember) dan KL Thunder (31 Disember).

Tajul Hisyam berkata, agak sukar baginya untuk mengulas mengenai pertemuan dengan KL Thunder yang menjadi aksi penutup tirai Liga Premier tahun ini.

“Seperti kita semua tahu, STL ini mengikut kiraan mata. Kami sudah tidak dapat mengejar KL Thunder jika mereka menang satu perlawanan lagi pada minggu ketujuh.

“Tetapi kami pun tidak tahu apa yang akan berlaku nanti, cuma kami akan tetap berusaha mengutip enam mata maksimum dalam baki tiga perlawanan akan datang,” jelasnya.