Antara espresso dan kopi O

Kopi antara minuman yang dikatakan paling banyak diminum penduduk dunia.
Kopi antara minuman yang dikatakan paling banyak diminum penduduk dunia.
A
A
A

PENGGEMAR kopi sudah pasti mahir menyebut perkataan espresso, cappuccino atau cafe latte yang menjadi kegilaan generasi muda masa kini.

Penulis dibesarkan dengan kopi O atau kopi susu tetapi jika disuruh membuat pesanan kopi seperti espresso dan lain-lain, penulis tidak berani kerana bimbang tersilap pesan disebabkan jarang ke coffee house sebegitu.

Difahamkan, kandungan kafein dalam kopi boleh menghilangkan rasa mengantuk, antara minuman yang dikatakan paling banyak diminum penduduk dunia.

Disebabkan nutrisi dalam kopi yang mengandungi pelbagai khasiat, antaranya Vitamin B2, Vitamin B5, potasium dan magnesium, ia juga telah digunakan dalam kandungan produk kesihatan, khususnya untuk tujuan melangsingkan badan yang sehingga kini menjadi buruan ramai wanita.

Jika diimbas sejak zaman datuk dan moyang kita dahulu, warung atau kedai kopi menjadi tumpuan sepanjang masa, malah kini generasi muda telah beralih arah menjadikan kafe mewah yang menghidangkan epresso, cappuccino dan cafe latte sebagai 'ruang lepak’ mereka. Harganya pula mungkin mahal berpuluh kali ganda.

Secara umumnya, istilah espresso atau cappuccino yang terkenal dari Itali itu diberi nama berdasarkan cara penyediaan menggunakan teknik tertentu, bergantung kepada bahan campuran tambahan seperti susu segar, karamel, vanila dan lain-lain sehingga memberikan rasa berlainan antara satu sama lain.

Penyediaannya sudah tentu memerlukan biji kopi berkualiti yang dikering dan dibakar sehingga mampu mengeluarkan aroma serta bau yang memikat penggemarnya.

Negeri Jelapang Padi yang mengusahakan sawah padi bagi memenuhi makanan asasi rakyat turut mengusahakan penanaman kopi yang telah diberi nafas baharu apabila sebuah syarikat pengeluar makanan terkenal telah memproses dan memasarkan Kopi Kedah sehingga menjadi trending.

Artikel Berkaitan:

Malah, sejak produk tersebut memasuki pasaran dalam tempoh setahun ini, permintaan Kopi Kedah telah meningkat.

Bangga

Penulis rasa bangga, walaupun bukan anak jati Kedah tetapi di negeri inilah penulis dibesarkan dan bersekolah.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Azman Nasrudin berkata, selain melihat Kedah sebagai negeri pengeluar makanan asasi negara, kini tumpuan Kedah pada Rancangan Malaysia Ke-12 pula menjadikan kopi sebagai tanaman komersial yang perlu dipertingkatkan.

“Kopi jenis Coffee canephora Pierre ex Froehner atau lebih mudah dikenali sebagai Robusta amat sesuai dengan cuaca Kedah,” katanya.

Di Malaysia, hanya dua jenis kopi ditanam iaitu Robusta dan Coffee liberica bull ex Hiern atau dikenali sebagai Liberica yang ditanam di Sabah.

Penulis yang menjejaki ladang kopi di pedalaman Sik baru-baru ini teruja melihat penat lelah petani yang berbaloi sehingga boleh menggelarkan mereka sebagai usahawan tani berjaya.

Malah di daerah Yan, sebuah kilang pemprosesan kopi telah wujud sejak lebih 30 tahun lalu dan kopi yang dihasilkan melalui kaedah tradisional itu masih menjadi pilihan masyarakat tempatan kerana keaslian rasa dan aromanya.

Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Norhafizah Abdul Rahman berkata, penanaman kopi di Sik, Yan, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pendang berkeluasan 50.46 hektar mempunyai lebih 46,000 pokok.

“Melihat potensi pasaran dan permintaan tinggi, Kedah berhasrat menyediakan 50 hektar kawasan ladang kopi baharu menerusi RMK12 dalam tempoh lima tahun akan datang bermula pada tahun 2021 hingga 2025 yang melibatkan seramai 60 petani,” katanya.

Cadangan meningkatkan hasil kopi di Kedah pasti memberi khabar gembira kepada penduduk tempatan yang rata-ratanya menjalankan aktiviti menoreh getah sebagai punca pendapatan terutama di pedalaman.

Sasaran itu adalah langkah bijak dalam usaha meningkatkan ekonomi Kedah selain memberi semangat juang serta terus positif kepada golongan petani khususnya yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara