Bayar zakat untuk keberkatan rezeki

A
A
A

DARI segi bahasa, perkataan zakat yang berasal daripada bahasa Arab bermaksud bersih, suci dan berkat. Pengertiannya adalah dalam konteks membersihkan harta, juga diri sendiri daripada sifat kedekut dan bakhil.

Dari sudut syarak, zakat bermaksud mengeluarkan sebahagian harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Syarat wajib berzakat adalah beragama Islam, merdeka, baligh dan berakal, manakala harta itu perlu cukup nisab dan haul serta dimiliki secara sempurna.

Kadar nisab adalah berdasarkan 85 gram emas. Nisab pada tahun ini bagi Kelantan berdasarkan laman web Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) adalah sebanyak RM15,972.06.

Tuntutan membayar zakat mempunyai banyak kebaikan, antaranya menyemai rasa ihsan dan suka membantu dalam diri kita. Sebagai orang yang berkemampuan, membayar zakat adalah salah satu cara kita membantu golongan miskin dan fakir.

Zakat juga mewujudkan sifat syukur terhadap segala nikmat dikurniakan ALLAH SWT.

Perasaan sayangkan harta adalah satu kelumrahan, maka sekiranya tiada keimanan dan keyakinan atas janji ALLAH, sudah pasti sukar bagi seseorang untuk membayar zakat tanpa sebarang ganjaran yang jelas.

Antara yang perlu diimani adalah dengan berzakat, harta dan rezeki akan bertambah, bukannya berkurang.

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja zakat menyucikan diri dan harta daripada unsur-unsur haram tetapi ketaatan melaksanakan perintah ALLAH itulah yang mengundang reda-Nya, sekali gus menambah keberkatan rezeki sehingga seluruh keperluan hidup terjaga.

Justeru, apa yang ada akan sentiasa terasa cukup, malah berlebihan. Zakat yang perlu dibayar juga bukanlah banyak, hanya 1/40 atau 2.5 peratus.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 103).

Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji kerana pendapatan boleh membawa perolehan yang tinggi serta berterusan.

Bagaimana dengan mereka yang terjejas pendapatan akibat Covid-19? Walaupun kehilangan kerja atau punca pendapatan tetap, jika pendapatan dan harta yang dimiliki cukup haul dan nisab, zakat masih wajib dibayar.

Saya terharu mengenangkan seorang mualaf yang memeluk Islam ketika berumur 72 tahun. Genap setahun menjadi seorang Islam, beliau menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk membayar zakat simpanan.

Walaupun baru memeluk Islam, beliau faham dan bersungguh-sungguh berusaha melaksanakan Rukun Islam itu. Ada yang sudah lama Islam pun mungkin lupa atau terlepas pandang untuk membayar zakat simpanan.

Sekarang, Majlis Agama Islam setiap negeri cukup telus dalam memberikan maklumat jumlah kutipan serta agihan zakat. Sebagai contoh, laman web Maik memaparkan jumlah kutipan semasa yang dikemaskini setiap hari tanpa gagal.

Ketika artikel ini ditulis, jumlah kutipan zakat semasa Maik adalah sebanyak RM175.8 juta, manakala jumlah agihan zakat semasa adalah RM156.8 juta.

Tunggu apa lagi? Jom bayar zakat.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.