Covid-19: Semua industri terpaksa tukar model perniagaan

Dr Aslan Bacho
Dr Aslan Bacho
A
A
A

SHAH ALAM - Impak pandemik koronavirus (Covid-19) amat besar khususnya kepada banyak industri dalam negara termasuk industri kesihatan itu sendiri sehingga terpaksa menukar bentuk model perniagaan pada hari ini.

Pengasas Rangkaian My Dental Care Clinics, MyKids Dental dan MDC Asia Link Berhad, Dr Aslan Bacho berkata, walaupun perniagaan kesihatan bukan 100 peratus tidak boleh beroperasi, namun ia tetap mengalami penurunan.

Beliau berkata, cabaran dalam industri kesihatan adalah untuk sentiasa mementingkan keselamatan dan kebersihan kerana klinik dan hospital masih beroperasi dalam tempoh tersebut.

Namun katanya, pihaknya sangat berhati-hati dengan memastikan penggunaan pakaian pelindung diri (PPE) secara penuh di kalangan staf, memakai face shield, sarung tangan, membuat ujian saringan Covid-19 dan lain-lain kerana sentiasa berdepan dengan pelanggan secara terus.

"Bila buat prosedur, macam mana hendak lindungi diri kita? Jadi kalau kita tak dapat beri perlindungan terbaik, bagaimana nak lindungi staf kita?

"Jadi kos menyediakan semua perlindungan sangat tinggi tapi kita tidak boleh meningkatkan harga perkhidmatan dan berbeza dengan kedai gunting umpamanya, mereka boleh kenakan caj tambahan kepada pelanggan apabila mereka terpaksa menggunakan PPE untuk perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Webinar Bisnes&Usahawan Era Digital dan Covid yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.

Webinar itu turut menampilkan lima lagi panel pembentang dan forum lain antaranya Pengarah Urusan Elzar Group, Dr Zaharudin Abdul Rahman, Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamal.

Artikel Berkaitan:

Dr Aslan berkata, cabaran lain dihadapi industri kesihatan apabila bilangan pelanggan semakin berkurangan kerana ramai yang risau untuk datang ke hospital atau klinik sebab takut dijangkiti apabila terlalu lama berada di situ.

Katanya, oleh itu model perniagaan amat penting dan dalam industri kesihatan pihaknya turut menukar strategi bagi mendekati pelanggan.

"Kita wujudkan ujian Covid-19 yang dibuat secara pandu lalu, konsultasi secara dalam talian, team mobile dan bermacam lagi strategi lain bagi menyesuaikan dengan situasi normal baharu," katanya.