Tidak semua produk dapat permintaan tinggi pasaran online

Ali Hassan Mohammad Hassan
Ali Hassan Mohammad Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak semua industri perniagaan sesuai atau mendapat permintaan tinggi dalam pasaran secara dalam talian di negara ini.

Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohammad Hassan berkata, ini kerana masih ramai juga pelanggan lebih memilih untuk membeli di kedai.

"Kita (Al-Ikhsan) masih lagi kuat (pelanggan) dekat kedai untuk membeli barang. Apa yang saya nampak ia bergantung kepada industri.

"Tidak semua barang orang akan beli dekat dalam talian, mungkin pada masa akan datang kita tidak tahu. Tapi buat masa sekarang saya masih jangka beberapa tahun pun kedai pun orang masih memilih berbelanja di kedai," katanya ketika menjadi salah seorang panel forum Webinar Bisnes&Usahawan Era Digital dan Covid yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan ketika negara melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu, perniagaan dalam talian meningkat dengan ketara.

Bagaimanapun beliau berkata, senario itu berubah apabila sektor ekonomi kembali dibuka seperti biasa.

"Sebahagian daripada perniagaan mungkin sangat sesuai dalam talian, tapi majoriti pilih pergi ke kedai," katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata, selari dengan era digitalisasi, syarikatnya juga sedang giat untuk memperkukuhkan perniagaan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, langkah itu juga selari dengan hasrat syarikat untuk menaik taraf sistem perniagaan dan sebagainya.