'Terima kasih rakyat Malaysia bantu kami'

Kisah Keluarga S Ganesh terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta setelah rumahnya di Lebuh Carnarvon di sini mendapat liputan meluas sebelum ini. - Foto Bernama
Kisah Keluarga S Ganesh terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta setelah rumahnya di Lebuh Carnarvon di sini mendapat liputan meluas sebelum ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Meskipun S Ganesh tidak meraikan Hari Natal, beliau mewakili keluarganya yang terdiri daripada lima beranak mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas kemurahan hati mereka sempena semangat perayaan itu.

Keluarga yang diketuai pengawal keselamatan berusia 34 itu telah kehilangan rumah mereka di Lebuh Carnarvon dalam satu kebakaran pada April lepas.

Ganesh dan isterinya, S Parameswary, 32, serta tiga anak mereka iaitu Girthikanesh, 6, Devi Shri, 3 dan Kirthana yang berusia lapan bulan terpaksa tinggal dalam kereta Proton Saga selama lapan bulan.

Ganesh, yang terpaksa menggunakan tandas awam untuk mandi dan membersihkan diri selama lebih setengah tahun, memaklumkan Bernama bahawa beliau dan keluarganya tidak pernah terfikir untuk berasa begitu gembira apabila dapat berbuat demikian dalam bilik air mereka sendiri selepas menerima kunci sebuah unit kediaman di Flat Rifle Range, Ayer Itam di sini pada 26 Disember lepas.

Beliau melahirkan penghargaan kepada kerajaan Pulau Pinang kerana meluluskan permohonannya untuk menghuni di sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

ARTIKEL BERKAITAN: Lima beranak tinggal dalam kereta

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) serta pihak media kerana memberikan liputan meluas mengenai nasib yang menimpa keluarganya sehingga menarik perhatian ramai di seluruh negara.

“Akhir sekali, saya tidak mampu menzahirkan dengan kata-kata betapa saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah membantu saya dan keluarga ketika kami berdepan dengan kesulitan hidup seperti ini,” katanya yang ditemani Presiden PHA, P Murugiah di kediaman baharu.

Kesulitan hidup keluarga itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk pendakwah bebas, Ebit Lew untuk tampil menghulurkan bantuan dengan menyumbang pelbagai barangan seperti peralatan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Semasa temu bual pada Ahad, keluarga Ganesh disapa oleh sukarelawan pelbagai kumpulan di luar kediaman baharu mereka.

Wakil Komuniti Tzu-Chi Rifle Range iaitu Law Mooi Keow, yang menghulurkan sumbangan tilam dan bantal, berkata pihaknya telah bertemu dengan Ganesh pagi tadi untuk mengetahui apa yang diperlukan keluarga itu.

“Kami memberikan tilam mudah alih, bantal dan selimut supaya mereka senang membawanya apabila memasuki kediaman baharu,” katanya.

Sementara itu, dua sukarelawan kumpulan Facebook ‘Member Live of Mutiara FM’ turut menghulurkan sumbangan berupa barangan makanan dan rempah-ratus kepada keluarga Ganesh.

Ahli kumpulan itu Norafiza Zainudin, 37, berkata, mereka telah berkongsi artikel mengenai Ganesh dan menyeru agar ahli lain menghulurkan sumbangan.

“Kami merancang untuk melakukan satu lagi kutipan sumbangan daripada kumpulan ini dan memberikannya kepada Ganesh bulan depan,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu mempunyai lebih 2,000 ahli. - Bernama