X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Flat Persiaran Paya Terubong tamat

Seorang penghuni flat di Persiaran Paya Terubong Relau memerhatikan kawad duri yang telah dipasang di pekarangan flat berkenaan berikutan pelaksanaan PKPD bermula 7 Disember lalu. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Mukim 13, Pulau Pinang ditamatkan hari ini lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes positif Covid-19 di lokaliti terbabit menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Kerajaan sebelum ini telah melanjutkan PKPD di flat ini bermula 7 Disember dan dijadualkan tamat pada 31 Disember.

Sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 5,585 saringan ke atas penduduk mengikut blok di lokaliti ini dan 113 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-285, hari ini.

Mengenai penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, beliau berkata 456 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKP dengan 421 dikenakan kompaun, 34 direman manakala seorang dijamin.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP adalah aktiviti pusat hiburan (170), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (167), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (67), tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain (tujuh).

Melalui Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 57 pendatang tanpa izin ditahan semalam, manakala tiga kenderaan darat dirampas.

Bagi kuarantin wajib pula, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 93,070 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 75 hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,125 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 85,409 individu dibenarkan pulang,” katanya.

Berhubung Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), katanya sejak 30 Mac, sebanyak 13,074 operasi sanitasi telah dilaksanakan merangkumi 137 zon.

“Semalam, 19 operasi sanitasi meliputi 16 zon melibatkan sembilan negeri dilakukan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!