X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat hiburan guna lesen restoran ketika PKPB diserbu

Seramai 42 pengunjung pusat hiburan di Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur dikompaun kerana melanggar PKPB.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Taman Sri Hartamas di sini yang berselindung di sebalik lesen restoran digempur polis pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, serbuan kira-kira jam 10.45 malam dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan.

"Selain itu, seramai 42 pengunjung pusat hiburan berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun membabitkan 31 lelaki dan 11 wanita termasuk telah dikenakan kompaun.

"Polis turut merampas peralatan audio serta resit perniagaan untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis terbabit telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menjalankan aktiviti hiburan selain dikesan menggunakan lesen restoran untuk beroperasi sebagai pusat hiburan.

Katanya, tindakan telah diambil di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Tegasnya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik pusat hiburan yang masih berdegil menjalankan aktiviti mereka ketika PKPB.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!