Dibayar RM3,000 sebulan, komisen untuk menipu

Antara telefon bimbit pelbagai jenama yang dirampas dalam serbuan kerana terlibat penipuan pelaburan tidak wujud di Taman Abad, Johor Bahru pada Khamis.
Antara telefon bimbit pelbagai jenama yang dirampas dalam serbuan kerana terlibat penipuan pelaburan tidak wujud di Taman Abad, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita yang terlibat kes penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian ketika serbuan di Taman Abad di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Fadzli Mohd Zain berkata, mereka yang berusia 17 hingga 25 termasuk seorang lelaki warga China ditahan dalam serbuan pada jam 5.30 petang.

"Kesemua tangkapan disyaki terlibat dalam pelaburan yang tidak wujud dalam talian dan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan serta komisen lima peratus daripada hasil penipuan.

"Terdapat satu laman sesawang yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam aktiviti pelaburan bitcoin tidak wujud," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Ahad.

Menurutnya, suspek berperanan mencari mangsa dalam media sosial dengan memulakan perbualan sebagai rakan sehingga mendapat kepercayaan dan seterusnya mendorong mangsa untuk melabur dalam bitcoin.

Beliau berkata, mangsa dikehendaki mendaftar semasa menyertai pelaburan tersebut bagi mendapatkan kata nama dan kata laluan.

"Mangsa yang menyertai pelaburan ini juga dikehendaki untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dipercayai dikawal dari negara China," katanya.

Mohd Fadzli berkata, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah komputer riba dan 25 telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan penipuan pelaburan bitcoin.

"Kesemua suspek warga tempatan itu direman selama tiga hari manakala seorang suspek warga China direman 14 hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.