X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Cabar menteri cari dalang kartel daging

Fuziah (kiri) menyampaikan risalah Kempen Hentikan Keganasan Wanita di Pasar Tani UTC pada Ahad.
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] "Saya cabar menteri cari dalang kartel daging," tegas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh membabitkan isu kartel yang dikatakan mencampurkan daging halal dan haram sebelum menampal logo halal pada bungkusan daging.

Fuziah yang merujuk kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Veterinar), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri (Kastam &Maqis) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama-Jakim) berkata, isu berkenaan melibatkan integriti dan menggugat institusi penguatkuasaan negara jika ia benar-benar berlaku.

Ahli Parlimen Kuantan itu juga berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat dan gambaran yang lebih jelas mengenai modus operandi kartel haram itu.

"Perkara ini sudah berlarutan sehingga bertahun. Kita bimbang binatang itu mungkin berpenyakit atau ditembak. Pasti ada agensi kerajaan yang terlibat.

"Saya harap pihak berkuasa akan menyiasat sehingga ke akar umbi. Menteri pun kena berani mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mencari dalangnya. Bagaimana daging itu boleh diimport?" katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kalendar 2021 Ahli Parlimen Kuantan di Pasar Tani UTC di sini pada Ahad.

Beliau berkata, terdapat pelbagai peringkat yang perlu dilalui sebelum daging import melepasi pasaran Malaysia.

"Ada rangkaian yang begitu rapat antara satu sama lain. Mereka ini bukan hanya bertanggungjawab kepada orang Islam tetapi seluruh rakyat Malaysia yang mengutamakan keselamatan.

Orang ramai turut mengambil peluang beramah mesra dan bergambar dengan Ahli Parlimen Kuantan itu.
Orang ramai turut mengambil peluang beramah mesra dan bergambar dengan Ahli Parlimen Kuantan itu.

"Makanan menyumbang kepada masalah kesihatan rakyat. Ini merupakan jenayah pecah amanah yang tinggi," katanya.

Fuziah sebelum itu mengedarkan 500 kalendar dan risalah Kempen Hentikan Keganasan Wanita kepada peniaga dan orang ramai di pasar tani itu.

Dalam perkembangan lain Fuziah berharap wanita yang mengalami keganasan rumah tangga tampil membuat laporan.

"Dalam keadaan pandemik ini didapati kes keganasan wanita meningkat. Ini menjadi pandemik dalam pandemik. Ramai yang hilang pekerjaan dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

"Mereka perlu mampu meminta bantuan daripada NGO (badan bukan kerajaan) menerusi Talian Kasih dan Talian Nur. Perlu ketahui bahawa ada orang yang boleh membantu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!