X

Kindly register in order to view this article
!

'Kesilapan besar perkecil peranan Bersatu'

Shahrul Nasrun
A
A

SHAH ALAM - Tindakan segelintir ahli dan pemimpin UMNO memperkecilkan peranan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya kerana parti itu memenangi 13 kerusi dalam pilihan raya lalu satu kesilapan besar.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, ia kerana tiga parti iaitu UMNO, Bersatu dan Pas saling memerlukan demi kelangsungan orang Melayu untuk kekal memegang kuasa pemerintahan.

Menurutnya, Muafakat Nasional (MN) menggabungkan UMNO dengan Pas merupakan satu titik penyatuan orang Melayu di negara kita.

"Tetapi MN hanya sekadar satu piagam dimeterai membabitkan UMNO dan Pas. Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) kerana ia sebuah parti politik didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Justeru, pemimpin UMNO perlu tahu bahawa sekiranya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, UMNO akan kehilangan Pas kerana Pas adalah ahli PN bersama Bersatu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Shahrul Nasrun turut mempersoalkan kemampuan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit secara bersendirian tanpa berganding dalam satu gabungan bersama Pas dan Bersatu.

"Ya, UMNO, BN mampu bangkit semula hanya sekiranya peratusan undi kaum Cina kembali kepada BN melebihi 20 peratus sokongan.

"Sekiranya UMNO, BN belum berjaya peroleh sokongan kaum Cina lebih 20 peratus, maaf cakap sukar bagi UMNO, BN untuk kembali berkuasa secara sendirian.

"Jumlah kerusi UMNO, BN adalah lebih banyak berbanding kerusi Bersatu? Ya, Bersatu asalnya memiliki 13 kerusi sahaja.

"Namun, faktor jumlah kerusi Bersatu lebih kecil berbanding UMNO tidak lagi boleh digunapakai kerana kini Bersatu menguasai kerajaan," katanya.

Beliau berkata, apabila UMNO, BN kekal bekerjasama dengan Bersatu, maka kekuatan yang dimiliki Bersatu iaitu jentera kerajaan akan digunakan untuk membantu kemenangan UMNO serta BN.

"Sekiranya UMNO, BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, pasti aset Bersatu digerakkan untuk lawan UMNO, BN," katanya.

Selain itu, katanya, jika UMNO, BN berpendirian menghentikan kerjasama dengan parti Bersatu, maka UMNO dan BN kehilangan Pas kerana parti Pas merupakan ahli PN.

Beliau berpandangan dengan memutuskan kerjasama dengan PN, Bersatu bakal mengukuhkan kedudukan dalam kalangan orang Melayu.

"Saya percaya, Bersatu tidak ke mana selepas era Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dalam Bersatu tiada pemimpin yang mampu untuk mengukuhkan parti Bersatu.

"Saya merasakan tidak mustahil Bersatu akan terbubar sendiri dan kesemua menyertai UMNO seperti mana parti Semangat 46.

"UMNO, Bersatu dan Pas saling memerlukan satu sama lain kerana melalui penyatuan dan kerjasama ini sahaja peluang Melayu majoriti memimpin kerajaan dengan jumlah 147 kerusi sangat tinggi," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!